PERASMIAN KLINIK KESIHATAN WANITA, PUSAT PERUBATAN SUKAN NEGARA

Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 17 Oktober 2023 – Sebagai tanda keprihatinan bagi menangani isu-isu kesihatan atlet wanita, Institut Sukan Negara (ISN) telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan Klinik Kesihatan Wanita yang telah dibuka pada 4 Oktober 2023 dan beroperasi pada setiap hari Rabu, jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari bertempat di Pusat Perubatan Sukan Negara, ISN. Klinik ini diwujudkan selepas mendapat maklum balas yang diterima daripada sesi townhall yang telah dikendalikan bersama atlet wanita pada bulan Ogos 2023.

Klinik ini dikendalikan oleh Dr. Jerilee Azhary, Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pelawat yang dilantik ISN daripada Fakulti Perubatan, Universiti Malaya. Selain itu, ISN juga telah melantik seorang doktor wanita secara tetap iaitu Dr. Wan Nadiah Zainab binti Wan Azman bagi memberi perkhidmatan perubatan kepada atlet-atlet wanita negara. Antara perkhidmatan yang diberikan adalah seperti khidmat perundingan dan konsultasi, pemeriksaan kesihatan wanita, rujukan luar dan sesi pendidikan kesihatan wanita.

Diharapkan perkhidmatan terbaharu ISN ini dapat dimanfaatkan oleh semua atlet wanita di bawah Program MSN dalam bersama-sama membantu menangani isu-isu kesihatan wanita dalam sukan. Pihak ISN akan sentiasa komited dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan seterusnya meningkatkan penyerlahan potensi atlet negara untuk prestasi yang cemerlang.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sememangnya pada masa ini memberikan penekanan kepada program dan inisiatif berkaitan wanita dalam sukan seperti yang dinyatakan dalam Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan. Susulan daripada pelan tersebut, pihak KBS telah melancarkan Kod Sukan Selamat (Safe Sports Code) yang berfungsi untuk melindungi komuniti sukan daripada sebarang bentuk penderaan, gangguan dan keganasan dalam sukan yang menjejaskan kesihatan mental dan fizikal.

Ia juga bertujuan untuk mengukuhkan aspek integriti dalam tadbir urus badan sukan dan ekosistem sukan Malaysia secara menyeluruh. Salah satu intipati yang ditekankan dalam Kod Sukan Selamat adalah aspek keselamatan, kesihatan dan gangguan yang dialami oleh atlet wanita.

#TeamISN