MAJLIS ANUGERAH INOVASI TEKNOLOGI SUKAN KEBANGSAAN 2023 DAN PELANCARAN SANDBOX TEKNOLOGI SUKAN

Putrajaya, 28 November 2023 – Institut Sukan Negara (ISN) telah menganjurkan Majlis Anugerah Inovasi Teknologi Sukan 2023 dan Pelancaran Sandbox Teknologi Sukan bertempat di Putrajaya Marriott Hotel pada hari ini.

Majlis pelancaran yang julung kalinya diadakan ini telah disempurnakan oleh YB Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan diiringi oleh Yang Berhormat Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Penganjuran majlis ini bertujuan untuk memasyurkan peranan ISN sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Teknologi Sukan yang merupakan agensi perintis serta pemacu program dan inisiatif inovasi sukan di Malaysia. Tanggungjawab ISN ini menyokong hasrat dalam Teras Ketiga Visi Sukan Negara 2030 iaitu pemerkasaan sains, teknologi dan inovasi sebagai pemangkin industri sukan Malaysia.

Berteraskan pendekatan a whole of nation approach dengan kerjasama pemegang taruh di pelbagai peringkat, ISN telah diiktiraf sebagai Sandbox Teknologi Sukan oleh National Technology and Innovation Sandbox (NTIS)dibawah MOSTI pada tahun 2021. Sandbox Teknologi Sukan ini secara umumnya berperanan sebagai platform validasi, ujilari dan regulatori bagi pembangunan dan pengkomersialan produk dan program tempatan berkaitan teknologi dan inovasi sukan. Beberapa produk dan program yang menembusi pasaran industri telah berjaya dilaksanakan melalui sandbox ini. Antara produk dan program tersebut adalah:

  1. RevealDNA oleh Genomas Sdn. Bhd. yang melibatkan projek penjujukan genom bagi pengenalpastian bakat sukan;
  2. Bozetta Road Bike oleh Bozetta Bike Sdn. Bhd. yang menghasilkan jenama basikal lebuhraya nasional yang pertama; dan
  3. Liga Dron Malaysia (Malaysia Drone League) anjuran Drone Racing Association Malaysia yang merupakan liga sukan dron berstruktur dan sistematik yang pertama di Malaysia.

Inisiatif berteraskan pengetahuan dan penyelidikan dalam teknologi sukan di Malaysia juga dipergiat melalui penganjuran The RevealDNA 2nd International Conference on Innovation And Technology In Sports 2023 [ICITS23]. Persidangan ini yang merupakan satu program Kerjasama antara ISN dan Malaysia Sports Technology Association (MySTA) mula diperkenalkan pada tahun 2022.

Sebagai tanda sokongan dan memberi pengiktirafan kepada pemegang taruh yang telah menghasilkan produk/hasil inovasi teknologi sukan, majlis tersebut turut memberi pengiktirafan melalui Anugerah Inovasi Teknologi Sukan Kebangsaan 2023 yang telah mula diperkenalkan pada tahun 2022.

The Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) telah menjadi sekretariat utama dan sehingga tahun ini, NTIS telah menerima sebanyak 729 permohonan lengkap bagi 40 kohort, meluluskan 191 permohonan di peringkat Jawatankuasa Pemilihan Eksekutif (ESC) di mana 98 permohonan telah diluluskan peringkat Jawatankuasa Kelulusan Dana Sandbox NTIS (AC) dengan dana sebanyak RM82.4 juta.

Majlis pada malam ini juga turut memberikan pengiktirafan kepada beberapa program lain iaitu :-

  1. Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) KBS;
  2. Pemenang Liga Dron Malaysia;
  3. Anugerah 2nd RevealDNA International Conference on Innovation and Technology In Sports 2023 [ICITS23]); dan
  4. Anugerah Khas Inovasi Media ISN-SAM 2023

Majlis pada malam ini juga turut memberikan pengiktirafan kepada beberapa program lain iaitu :-

(i) Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) KBS;

(ii) Pemenang Liga Dron Malaysia;

(iii)   Anugerah 2nd RevealDNA International Conference on Innovation and Technology In Sports 2023 [ICITS23]); dan

(iv) Anugerah Khas Inovasi Media ISN-SAM 2023

Majlis ini diserikan lagi dengan sokongan pengurusan tertinggi dengan kehadiran YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan serta YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, persatuan-persatuan sukan, rakan-rakan penaja, pemegang taruh dan wakil media.

ISN kini diberi kepercayaan penuh dalam membentuk satu ekosistem yang memacu inisiatif inovasi dan teknologi sukan yang akan terus memberi impak dan outcome yang positif dan signifikan kepada industri sukan negara.

Dikeluarkan oleh:

Cawangan Komunikasi KorporatInstitut Sukan Negara (ISN)