Analisis Prestasi

banner

PUSAT ANALISIS PRESTASI SUKAN

Analisis prestasi sukan melibatkan pemerhatian yang sistematik untuk meningkatkan prestasi dan juga melakukan keputusan dalam perlawanan. Fungsi utama Analisis Prestasi Sukan dalam proses kejurulatihan adalah menyediakan maklumat kuantitatif dan kualitatif untuk mengenalpasti petunjuk penting dalam aspek prestasi sukan.

  1. Perkhidmatan Analisis Prestasi Sukan

1.1     Analisis Perlawanan

Pusat Analisis Prestasi Sukan menyediakan perkhidmatan analisis perlawanan untuk mengenalpasti prestasi atlet semasa perlawanan berdasarkan petunjuk prestasi yang telah ditetapkan. Hasil daripada analisis akan digunakan oleh jurulatih untuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahan atlet atau pasukan dan seterusnya membantu jurulatih untuk merangka kembali strategi yang lebih ampuh dan latihan yang lebih berobjektif

1.2     Analisis Latihan

Pusat Analisis juga menyediakan perkhidmatan analisis semasa dalam tempoh latihan. Namun pada fasa ini, analisis lebih ditumpukan kepada latihan-latihan spesifik yang tertentu bagi mengenalpasti kekurangan pada atlet secara lebih terperinci.

1.3     Maklumbalas Video

Dengan menggunakan teknologi yang terkini, Pusat Analisis Prestasi Sukan mampu menyediakan maklumbalas video kepada jurulatih dan atlet secara langsung ketika perlawanan atau latihan.

1.4     Analisis Pergerakan Atlet

Pusat Analisis Prestasi Sukan mempunyai sistem “Global Positioning System” untuk melakukan analisis pergerakan atlet dalam perlawanan contohnya kelajuan mekanisme larian atlet semasa latihan atau perlawanan, “Heat Map” ataupun peta pergerakan seseorang atlet.

  1. Pendidikan Atlet dan Jurulatih

Pusat Analisis Sukan juga bertanggungjawab untuk menyediakan input-input latihan kepada atlet dan jurulatih melalui penggunaan video. Koleksi rakaman perlawanan dan latihan akan ditambah dan diselenggara dari masa ke masa bagi memudahkan atlet dan jurulatih untuk merujuk kembali prestasi mereka. Hasil daripada analisis juga akan digunakan sebagai bahan pengajaran kepada jurulatih-jurulatih baru.

  1. Penyelidikan Analisis Prestasi Sukan

Pusat Analisis Prestasi bergiat dalam penyelidikan analisis prestasi sukan bagi memenuhi keperluan atlet dan jurulatih dengan menyediakan maklumat yang berasaskan bukti saintifik ke atas peningkatan prestasi sukan atlet.  Pusat analisis prestasi sukan juga berganding bahu dengan beberapa universiti bagi membentuk budaya penyelidikan dan pendidikan berterusan.

  1. Khidmat Sosial- Pendidikan Analisis Prestasi Sukan

Pusat Analisis Prestasi Sukan bergiat aktif dalam seminar atau bengkel Analisis Prestasi Sukan di serata negara dengan menyediakan tenaga pengajar yang mahir dan berpengalaman dalam kalangan staf Pusat Analisis Prestasi Sukan sendiri untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar-pelajar universiti.

Pasukan Analisa Sukan bersedia memberikan khidmat sokongan kepada Pasukan Kebangsaan samada ketika sesi latihan atau kejohanan. Dengan mengunakan peralatan rakaman yang canggih dan juga Perisian (Software) analisa video yang mampu mengumpulkan klip video berdasarkan indikator prestasi, Pasukan Analisa Sukan mampu untuk menyediakan maklumat penting kepada jurulatih dan atlit dengan pantas dan berkesan.