2024 tahun cabaran buat ISN

Kuala Lumpur: Tahun 2024 dijangka akan memberi cabaran luar biasa buat Institut Sukan Negara (ISN) terutama sekali dalam memberi sokongan padu buat atlet negara yang beraksi di Sukan Olimpik Paris.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, mereka sudah berusaha memberikan perkhidmatan serta mempamerkan prestasi yang terbaik sepanjang tahun 2023.

Kami sedar bahawa 2024 pastinya akan menjadi tahun yang mencabar buat ‘Team ISN’ dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan terutamanya dalam menghadapi dua temasya sukan terbesar dunia iaitu Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris,” katanya dalam Amanat Tahun Baru 2024 bersama Team ISN Malaysia.

Ujarnya, bagi 2024 mereka akan menumpukan kepada empat perkara dan paling utama ialah perkhidmatan berfokus kepada atlet.

“Kedua adalah memberikan kolaborasi bermakna, manakala yang ketiga adalah amalan dan pengetahuan bertaraf dunia, manakala yang terakhir tertumpu kepada inovasi serta pengkomersialan industri.

“Perkhidmatan melebihi ekspektasi, kolaborasi serta pembudayaan inovasi akan terus menjadi tumpuan ISN bagi tahun 2024.

“Kepada warga Team ISN, mari kita sambut cabaran sebagai peluang dan bekerjasama untuk mencapai matlamat kolektif kita.

“Dedikasi anda adalah penting untuk kejayaan kita dan bersama-sama sebagai satu pasukan, kita boleh mencapai tahap yang baharu. Hargai semua kerja keras, dan mari jadikan tahun ini luar biasa,” kata Ahmad Faedzal.

Antara peranan penting ISN adalah terbabit dalam Program Road To Gold (RTG) yang bermatlamat menjelmakan pingat emas sulung negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

–Harian Metro