Penemuan Kajian – Atlet bergelut untuk mengekalkan motivasi semasa “COVID-19 Lockdown”

Satu dapatan kajian global baharu telah mendedahkan bahawa kebanyakan atlet-atlet di serata dunia telah mengalami penurunan motivasi untuk berlatih semasa sekatan pergerakan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Kajian yang dilakukan ketika pandemik baru barmula itu, telah melibatkan 12,526 atlet dari 142 negara dan enam benua dan diterbitkan dalam jurnal berprestij dalam sains sukan dan perubatan iaitu “Sports Medicine” dan diketuai oleh penyelidik ISN, Jad Adrian Washif.

Tinjauan dalam talian yang komprehensif ini telah dijalankan oleh para pengkaji bagi meniliti tentang perubahan corak dan amalan latihan atlet-atlet, sebelum dan semasa kawalan pergerakan yang berkaitan dengan wabak pandemik.

Hasil penemuan kajian mendedahkan bahawa 53% atlet mengalami penurunan motivasi utuk melakukan latihan dan sebahagiannya telah diburukkan lagi dengan kekurangan pertandingan sukan yang kompetitif sepanjang tempoh pandemik.

Penyelidik juga mendapati bahawa berbanding sebelum sekatan, pengurangan kekerapan sesi latihan (4 sesi seminggu atau kurang), sesi atau jangka masa latihan yang lebih pendek (<60 minit) dan intensiti latihan spesifik yang lebih rendah (<70%) telah dilaporkan oleh kebanyakan atlet, tanpa mengira klasifikasi mereka (seperti atlet kelas dunia, antarabangsa, kebangsaan dan negeri).

Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan responden menyatakan mereka berlatih secara bersendirian di kawasan rumah mereka (67%) dan memberi tumpuan kepada pengekalan kecergasan dan kesihatan (83%), tanpa berlatih secara spesifik kepada sukan atau disiplin khusus mereka, dan dipercayai sebahagiannya disebabkan oleh kekurangan tempat berlatih, peralatan dan kemudahan yang bersesuaian.

Sepanjang penyelidikan, Jad Adrian Washif telah bekerjasama dengan rakan akademik terkemuka di ASPETAR (Karim Chamari), Loughborough University (Lee Taylor), The University of Melbourne (Isabel Krug), University of Canberra (David Pyne), Amsterdam UMC (Evert Verhagen), University of the Basque Country (Inigo Mujika) dan lain-lain, dan secara keseluruhan melibat 111 pengkaji atau saintis sukan daripada 123 Institusi-Institusi Sukan, Universiti-Universiti dan Kelab Sukan Profesional daripada 62 buah negara.

Jad Adrian Washif mengulas: “Adalah menggembirakan apabila dapatan daripada sampel kajian kami yang agak besar (12,526 atlet), ramai atlet-atlet bertaraf Olimpik atau kejohanan dunia (>1600) telah ditinjau. Dalam hal ini, ramai atlet kelas dunia boleh mengekalkan amalan latihan “biasa” mereka atau lebih baik berbanding dengan atlet-atlet lain.

“Walaubagaimanapun, data kajian ini juga menunjukkan bahawa atlet sememangnya memerlukan bantuan semasa kawalan pergerakan, termasuk dari perspektif latihan, motivasi dan kesejahteraan mental.”

Untuk maklumat lanjut tentang kajian dan membaca laporan penuh, lawati: (Training During the COVID‐19 Lockdown: Knowledge, Beliefs, and Practices of 12,526 Athletes from 142 Countries and Six Continents) Springer: https://link.springer.com/article/10.1007/s40279-021-01573-z.