MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN ULANG TAHUN INSTITUT SUKAN NEGARA KE-10 – ISN10

BUKIT JALIL, 25 NOVEMBER 2021 – Sedekad yang lalu, Institut Sukan Negra (ISN) telah ditubuhkan secara rasmi sebagai sebuah agensi sukan berprestasi tinggi negara yang bertunjangkan sains, perubatan dan teknologi sukan. Selama sedekad ISN juga telah memainkan peranan cemerlang di dalam ekosistem sukan negara.

Selaku pasukan di sebalik tabir, ISN telah diamanahkan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin demi kegemilangan sukan negara. Di dalam usaha menjadi agensi sukan berprestasi tinggi ternama, ISN mengambil pendekatan yang sangat realistik. Tanpa jemu, ISN akan terus menyumbang idea baharu dan inovasi bernilai kepada sukan Negara.

Bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-10 ISN pada 16 September 2021, ISN telah memperkenalkan sambutan “ISN10” yang merupakan simbolik kepada peranan penting ISN di dalam kemajuan sukan negara dan tekad warga ISN bagi meneruskan legasi kecemerlangan di dekad mendatang. Bagi memeriahkan dekad yang penuh bermakna ini, pelbagai aktiviti dan inisiatif baharu telah diperkenalkan sepanjang tahun 2021.

Di antara intipati utama majlis adalah Pelancaran Centre of Excellence (COE) iaitu pertukaran dokumen persefahaman dan menjalin kerjasama dengan pelbagai universiti awam tempatan, pusat pengajian tinggi dan syarikat swasta dalam bidang sains, perubatan dan teknologi sukan berlandaskan 4 inisiatif utama iaitu :-

• Sports Technology R&D Program

• Sports Technology Accelerator LAB (STAL)

• Sports Technology R&D Commercialization

• Sports Product Quality Enhancement Program

Berperanan dalam meningkatkan prestasi dan pencapaian atlet negara, inisiatif ini merupakan satu permulaan kepada masa depan teknologi dan inovasi sukan negara yang bakal melonjakkan nama Malaysia.

Sebagai kesinambungan dalam pengenalpastian dan pembangunan bakat-bakat baru untuk diasah bagi menjadi pelapis-pelapis atlet elit, ISN telah membuat penambahbaikan terhadap program MyTID KPM-KBS yang bertujuan untuk mengenal pasti bakat yang berpotensi dalam kalangan murid-murid sekolah. Ketua Pegawai EksekutIf ISN, YBrs. En. Ahmad Faedzal bin Md Ramli optimis terhadap program yang selari dengan aspirasi Visi Sukan Negara (VSN2030) dan dalam masa yang sama ianya menambah baik proses MyTID sedia ada. Fokus utama program ini adalah untuk memperluaskan tapak penyertaan bakat- bakat (Talent Pool) seawal usia tujuh (7) tahun yang berpotensi di peringkat akar umbi.

Turut dilancarkan pada majlis yang sama adalah ISN Performance Center (PPSN 2.0) iaitu pusat pemulihan berkonsepkan sports science evidence-based approach yang bertujuan untuk memberikan perkhidmatan sains sukan bertaraf antarabangsa kepada kumpulan sasaran yang memerlukan. Inisiaf ke-3 ini dilihat mampu merancakkan industri sukan negara dan memberi nilai tambah bagi sumber pendapatan ISN dalam jangka masa panjang.

Inisiatif ke-4 adalah Pelancaran Integrated High Performance Recovery Centre yang berfungsi dalam pemulihan kecederaan dan mengoptimumkan prestasi atlet prestasi tinggi sebelum dan selepas sesi latihan/pertandingan. Perkhidmatan yang berkonsepkan saintifik dan sistematik ini turut dibuka kepada orang ramai serta membuka peluang kepada para penyelidik/pengamal sains dan perubatan sukan untuk menjalankan kajian yang berimpak tinggi dalam peningkatan prestasi sukan negara.

Sebagai usaha untuk memantapkan lagi fungsinya dalam arena sukan negara, ISN turut memperkenalkan Anak-Anak Syarikat yang ditubuhkan untuk menjana pendapatan dan peluang perniagaan iaitu :-

• AFA (Athletes for Athletes)

• Genomas Sdn Bhd Malaysia

• ATF Sports Sdn Bhd

• Data Sukan Consulting Sdn Bhd

• ISNOne-pengeluar makanan ready to eat

• SDTC (National Sports Digital Transformation Centre Sdn Bhd)

*penjanaan semula SDTC kepada STM (Sports Technology Malaysia Sdn Bhd). Melalui Penjanaan Semula ini STM akan diangkat sebagai Syarikat Peneraju Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Sukan Negara bersama rangkaian agensi STI – Mranti, MOSTI, Futurise dan MDEC. STM juga akan menjadi sekretariat tetap Pusat Kecemerlangan Teknologi Sukan Kebangsaan.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’Azumu, Menteri Belia dan Sukan. Turut hadir di majlis sambutan hari ini adalah YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YBrs. Puan Ramona binti Mohd Razali, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara.

Adalah menjadi harapan warga ISN, agar semua inisiatif-inisiatif ISN dengan visi sebagai peneraju sains, perubatan dan teknologi sukan akan dapat melahirkan atlet yang bertaraf dunia serta menaikkan imej sukan di peringkat antarabangsa.

#TeamISN #ISN10