Oleh: Syarifah Fathynah bt Syed Shiekh
16 Ogos 2018, BANGI: Satu Majlis Menandatangani Perjanjian Perlesenan (TLA) di Antara UKM Technology Sdn. Bhd. (UKMT) dan Institut Sukan Negara (ISN) serta Perjanjian Kolaboratif (CA) di antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Sukan Negara (ISN) diadakan buat julung-julung kalinya menerusi sebuah projek penyelidikan kolaborasi ISN-UKM bertajuk Dietscore™ 2.0: Intelligent Menu Planning Malaysian Athletes and Active Individuals for Various Age Categories. Perjanjian berkenaan membabitkan lessen aplikasi Dietscore 1.0 dan penganugerahan geran penyelidikan ISN kepada penyelidik yang diketuai pensyarah kanan, Profesor Dr. Nik Shanita Safii, Fakulti Sains Kesihatan UKM untuk pembangunan aplikasi Dietscore 2.0.
Dietscore 2.0 merupakan aplikasi telefon (mobile apps) bagi membantu atlet dan jurulatih dalam mengenalpasti status pemakanan sukan atlet negara dalam mencapai prestasi atlet dan kesihatan yang optimum. Projek pembangunan aplikasi ini akan mengambil masa 2 tahun merupakan kesinambungan projek pembangunan protaip DietScore 1.0 yang dilaksanakan oleh UKM turut melibatkan ISN pada tahun 2016. Lebih menarik adalah aplikasi telefon yang bakal dibangunkan ini boleh digunapakai oleh masyarakat yang aktif bersukan. Oleh yang demikian, ianya bukan sahaja berpotensi dalam memenuhi keperluan atlet, malahan keperluan masyarakat yang aktif bersukan.
Ketua Pegawai Eksekutif ISN, YBhg. Dr. Mohd Khairi bin Zawi dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Profesor Dr. Mohd Ekhwan Toriman telah menyempurnakan majlis dan berharap agar kerjasama ini memberi impak terhadap atlet khususnya dan menghasilkan harta intelek yang boleh dimajukan sehingga ke tahap pengkomersilan. Hadir sama menyaksikan majlis menandatangani perjanjian berkenaan adalah Timbalan Pengarah Pusat Inovasi Kolaboratif, Profesor Dr. Nazura Abdul Manap dan Pemangku Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan ISN, En. Syed Faris Syed Omar.
Majlis disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ISN dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM di Bilik Majlis Jabatan Pendaftar UKM, Bangi.
Sesi tandatangan dan penyerahan perjanjian di antara ISN dan UKM.