ISN Persiapkan Mr. Universe

BUKIT JALIL, 26 SEPTEMBER 2018- Institut Sukan Negara(ISN) meneruskan sokongan kepada Jaguh bina badan dunia, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah yang akan berdepan 2 kejohanan penting pada penghujung tahun ini dengan memantapkan keperluan sains dan perubatan sukan jaguh bina badan negara itu.

Sharul Azman kini giat menjalani persiapan menjelang Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia 2018 di Pune, India yang akan berlangsung pada 2 hingga 8 Oktober ini diikuti Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia 2018 yang akan berlangsung di Chiang Mai, Thailand pada 11-17 Disember depan.

Syarul Azman akan berlepas ke India Isnin depan memasang misi mempertahankan gelaran Mr. Asia buat kali keempat berturut-turut. Untuk rekod beliau telah berjaya meraih gelaran Mr Asia pada edisi 2015, 2016 dan 2017.

Dalam usaha merealisasikan impian jaguh bina badan dunia itu, Institut Sukan Negara (ISN) telah mempersiapkan keperluan sains dan perubatan sukan lebih-lebih lagi bagi sukan bina badan, khidmat sokongan sains dan perubatan sukan seperti dalam aspek suaian fizikal, pemakanan sukan dan pencegahan kecederaan adalah amat kritikal.

Jelas Syahrul Azman, beliau amat berterima kasih kepada pihak ISN, terutamanya Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Encik Ahmad Zawawi Zakaria bersama-sama pegawai-pegawai sains dan perubatan ISN yang telah banyak memberikan sokongan kepada beliau selama ini sekaligus mengharapkan dapat terus menerima sokongan ISN pada masa akan datang.

Pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia 2018 yang akan berlangsung di Chiang Mai, Thailand pada Disember depan. Syarul Azman turut mensasarkan mempertahankan gelaran Mr Universe buat kali ketiga.