Selamat Datang ke ISN!

Bukit Jalil, 27 September 2018: Menyedari cabaran sukan moden yang bergelut menghasilkan atlet berkualiti yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang mula mengorak langkah untuk melahirkan atlet-atlet negeri yang berjaya menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2020.

Untuk merealisasikan impian ini, YB Soon Lip Chee dan delegasi Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang telah mengadakan lawatan kunjung hormat ke Institut Sukan Negara(ISN) dalam mengenalpasti pendekatan sains dan perubatan sukan bagi memantapkan program pembangunan bakat sukan negeri menerusi lawatan rasmi ke Bukit Jalil siang tadi.

Lawatan delegasi Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh YB Soon Lip Chee disambut Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Mohd Khairi Zawi, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, En. Ahmad Zawawi Zakaria dan Pengarah-Pengarah Bahagian ISN.

Delegasi turut dibawa melawat di sekitar ISN untuk melihat sendiri perkhidmatan sains dan perubatan sukan yang diberikan kepada atlet-atlet negara antaranya melawat ke bahagian fisiologi senam, biomekanik, pemakanan, psikologi, suaian fizikal, perubatan sukan dan fisioterapi.

Bagi ISN, sokongan di peringkat negeri telah lama diwujudkan di setiap negeri menerusi Pusat ISN Negeri yang telah diwujudkan sejak tahun 2008.

#TeamISN