LALUAN Malaysia nampak makin sukar selepas tewas 2-3 kepada Great Britain pada perlawanan ketika Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2014 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam.
Begitupun, ketua jurulatih Malaysia, Arul Selvaraj tetap berbangga dengan barisan pemainnya yang bangkit lebioh bertenaga biarpun ketinggalan dua gol pada awal permainan.
“Ada beberapa kelamahan individu yang berlaku dalam pasukan dan bahagian yang perlu diperbaiki adalah sikap pemian itu sendiri yang mudah hilang fokus.
“Bagaimanapun, mereka mempamerkan semangat melawan yang hebat dan saya berbangga kerana mereka bangkit seperti seorang juara,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.
Malaysia tersentak apabila Great Britain mudah menjaringkan dua gol awal menerusi Benjamin James Boon dan David Goodfield seawal minit kelima dan keenam.
Malaysia berjaya mengurangkan defisit gol apabila Muhd. Sufi Ismat Rohulamin memanfaatkan hantaran kapten, Muhd. Haziq Samsul pada minit ke-36.
Great Britain bangkit menjarakkan kedudukan apabila berjaya memperoleh gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti Luke Taylor pada minit ke-62.
Malaysia yang tidak mudah menyerah kalah sekali lagi merapatkan jurang gol menerusi jaringan pakar flick, Shahril Saabah pada minit ke-65.
Sementara itu, ketua jurulatih Great Britain, Jon Bleby turut memuji karakter barisan pemain Malaysia yang tidak mudah mengaku kalah pada aksi tersebut.
“Pemain Malaysia bermain sangat cemerlang. Mereka mengejar kami selepas ketinggalan dua gol dan pujian seharusnya diberikan kepada mereka.
“Saya juga tetap berbangga dengan para pemain saya yang mana bagi saya, ini adalah perlawanan paling menarik setakat ini,” jelasnya.
Kini, Malaysia wajib menewaskan, India jika berhasrat meneruskan kemaraan.
Sumber : Kosmo