Malaysia perlu suruhanjaya tangani kemerosotan sukan – Vellapan

KUALA LUMPUR: Sebuah suruhanjaya antara lain membabitkan pakar asing perlu ditubuhkan bagi menangani kemerosotan prestasi sukan negara di persada antarabangsa, demikian disyorkan oleh tokoh sukan, Datuk Peter Vellapan.

Bekas setiausaha agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu mencadangkan anggota suruhanjaya itu terdiri daripada Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan pakar pembangunan sukan dari luar negara.

“Gabungan idea daripada pakar seperti dari Malaysia, Australia, Jepun, China dan Amerika Syarikat boleh membantu negara mempunyai program pembangunan atlet berbakat secara progresif dan sistematik.”Paling penting kita perlu ada kelab dalam setiap jenis sukan…sebahagian daripada pembangunan pelbagai peringkat umur, bermula daripada usia 12 hingga 23 tahun,” katanya pada sidang media bersama di Wisma MOM di sini, hari ini.

Turut hadir setiausaha agung MOM, Datuk Shieh Kok Chi dan Pengerusi Jawatankuasa Perubatan MOM dan Majlis Olimpik Asia (OCA), Tan Sr Dr M Jegathesan.Vellapan berkata Malaysia juga memerlukan pemimpin profesional dalam bidang sukan yang serius mengenai pembangunan sukan di negara ini.

“Kita ketandusan kepimpinan profesional dalam persatuan sukan kebangsaan. Kita memerlukan pemimpin sukan yang begitu bersemangat dalam menyediakan ruang untuk atlet berbakat membesar dalam program pembangunan yang sistematik dan progresif,” katanya. – BERNAMA

Sumber : Berita Harian