Arul bimbing skuad senior?

Johor Bahru: Kebuntuan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk mencari ketua jurulatih tetap skuad senior negara mendorong badan induk itu kembali menyerahkan tugas semula kepada Arul Selvaraj (gambar) untuk membimbing pasukan pada Liga Hoki Dunia di Singapura, Januari depan.
Namun, yang menjadi persoalan ketika ini mampukah Arul menggalas tugas itu sedangkan beliau juga adalah ketua jurulatih bagi skuad remaja selain jurulatih untuk kelab UniKL yang akan beraksi pada Liga Hoki Malaysia (LHM) bermula hujung bulan ini.
Sekiranya beliau menggalas ketiga-tiga tugas itu, ia pasti menjadi satu beban buatnya, sekali gus tidak mampu memberi fokus sepenuhnya kepada skuad kebangsaan.
Namun, Naib Presiden Kanan MHC Datuk Nur Azmi Ahmad yang membuat pengumuman itu semalam berkata, pihaknya berharap Jawatankuasa Kejurulatihan yang diketuai Manjit Majid Abdullah perlu mencari jalan penyelesaian berhubung isu itu.
“Sebelum ini kami memang tidak membenarkan ketua jurulatih kebangsaan menjadi jurulatih untuk pasukan kelab, tapi Jawatankuasa Kejurulatihan akan membincangkan isu ini dengan segera.
“Saya juga ada terbaca di akhbar Arul beritahu tidak cukup masa melakukan persiapan untuk pasukan remaja, jadi saya rasa beliau juga kena buat keputusan sama ada mahu menjadi jurulatih remaja atau kelab,” katanya.
Nur Azmi berkata, pencarian jurulatih asing tetap diteruskan dan setakat ini sekurang-kurangnya ada tiga calon bagi mengisi kekosongan jawatan itu.
“Segala-galanya perlu juga dibincangkan dengan MSN (Majlis Sukan Negara) terutama berhubung gaji jurulatih yang akan dilantik nanti,” jelasnya.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan kepada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dipengerusikan oleh Presiden MHC Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah minggu lalu, beliau mahu Arul diberi peluang membimbing skuad senior dan selepas itu meneruskan tugas hakiki selaku jurulatih skuad remaja.
Arul sebelum ini pernah diberikan tanggungjawab membimbing pasukan senior pada temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.
Beliau baru saja selesai tugas bersama skuad remaja pada saingan Piala Sultan Johor semalam yang menyaksikan skuad negara menduduki tempat kelima daripada enam pasukan.
Sumber : Harian Metro