KUALA LUMPUR, 24 April 2026 – Institut Sukan Negara (ISN) terus memperkukuh komitmen terhadap tadbir urus berintegriti dengan penganjuran Program & Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang berlangsung di ibu pejabat ISN hari ini. Program dimulakan dengan sesi wacana advokasi antirasuah bertajuk Peranan Kepimpinan dalam Membudayakan Integriti dan Antirasuah yang disampaikan oleh Muhammad Zaim Mohd Zuki, Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Wacana ini menekankan kepentingankepimpinan berintegriti dalam membentuk budaya kerja yang telus, berakauntabiliti dan bebas rasuah. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi ISN, Dr. Zulkharnain Ismail
serta Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Vellapandian Ponnusamy yang mengetuai lafaz Ikrar Bebas Rasuah bersama barisan pengurusan tertinggi danwarga ISN.

Sebagai simbol komitmen bersama, sesi penandatanganan dokumen IBR telah dilaksanakan oleh pengurusan tertinggi ISN dan disaksikan oleh wakil SPRM serta Pengerusi ISN, diikuti penyerahan simbolik ikrar kepada pihak SPRM. Penganjuran program ini mencerminkan iltizam berterusan ISN dalam memastikan amalan integriti sentiasa menjadi teras dalam setiap aspek
pengurusan dan pembangunan sukan negara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.