BUKIT JALIL, 3 OGOS 2018 – Unit Akademik, Bahagian Perubatan Sukan ISN telah menganjurkan kursus ‘Level 1 First Aid in Sports’ di Bahagian Perubatan Sukan pada 2 dan 3 Ogos 2018.
Kursus ini merupakan kursus pensijilan antarabangsa daripada World Rugby dan dilaksanakan dengan kerjasama Kesatuan Ragbi Malaysia. Kursus ini adalah bertujuan untuk memberikan pendidikan dan latihan untuk memberikan bantuan awal kepada atlet sukan yang tercedera sewaktu beraksi di lapangan.
Kaedah pembelajaran dalam kursus ini adalah melibatkan program pembelajaran modul secara online dan sesi bersemuka yang melibatkan banyak demonstrasi dan latihan praktikal.
Kursus ini adalah sesuai untuk semua anggota ISN dan amat menekankan lima pesanan penting kepada semua pihak yang terlibat dalam penjagaan atlet daripada kecederaan yang berpotensi menjadi lebih serius.
Ia meliputi mesej seperti selamatkan nyawa, ketahui ‘ABC – Airway, Breathing, Ciculation’, Lindungi pemain yang berpotensi mengalami kecederaan leher, berlatih dengan baik untuk mengelakkan kecederaan, menangani kecederaan gegaran otak (Concussion) dan penjagaan luka dan menangani risiko jangkitan dengan baik.
Kursus ini disampaikan oleh fakulti yang diiktiraf oleh World Rugby iaitu Dr Azril Syazwan Bin Mohd Ali, Pakar Perubatan Sukan ISN (World Rugby Medical Trainer) dan Cik Nurdiasafra Bt Hassan, Jurupulih Anggota ISN (World Rugby Medical Educator).
Kursus ini akan diteruskan lagi kepada semua anggota perubatan dan bukan perubatan ISN pada masa akan datang. Penyampaian sijil kursus ini disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Perubatan ISN, Dr Arshad Bin Puji.