KUALA LUMPUR: Skuad hoki negara pernah menewaskan Pakistan dua kali di pentas Sukan Asia – kebetulan pula ia berlaku di bumi Korea Selatan.
Mungkinkah elemen tuah sekali lagi akan memihak pemain negara untuk menumbangkan juara bertahan itu dalam aksi separuh akhir, esok untuk mengintai tiket ke final.
Pada Sukan Asia 2002 di Busan, skuad negara menewaskan Pakistan dalam penentuan pingat gangsa dan pada edisi 1986 di Seoul kita menang 2-1 dalam saingan peringkat kumpulan.
Petang esok, anak didik Arul Selvaraj bertemu lawan sama di Stadium Hoki Seonhak dan harap satu lagi kejutan bakal dilakar untuk kemenangan ketiga skuad negara ke atas lawan di bumi Korea.
Misi itu nampak tidak mustahil ketika setiap pemain berada pada tahap keyakinan tinggi selepas membelasah Jepun 4-1 dalam perlawanan terakhir kumpulan tempoh hari.
Cuma, Pakistan juga ada elemen tuah setiap kali bertemu Malaysia di pentas antarabangsa dan kelebihan mereka menjurus kepada kecekapan jentera serangan menyambar peluang atau ketika benteng lawan bersikap leka.
Apa yang harus dilakukan pemain negara adalah menekan lawan dari minit pertama lagi dan menafikan peluang serangan mereka dengan corak keras dan pantas. Lawan hanya nampak garang jika diberi ruang atau lawan mereka melakukan kesilapan.
Percayalah, Pakistan bukan sehebat mana kerana kemampuan kita dengan mereka adalah sama – cuma pemain Pakistan ada mentaliti mahu menang yang kuat setiap kali menentang Malaysia.
Tapi Arul pula tidak peduli dengan rekod lebih baik Pakistan setiap kali bertemu Malaysia.
Dia berkata rekod itu atas kertas sahaja dan pasukannya mampu mengubah kedudukan memihak mereka, esok.
“Saya lebih fokus kepada pasukan sendiri. Pakistan memang hebat tapi ia hanya di atas kertas sahaja. Kita boleh ubah dan memperbaiki rekod ini,” katanya.
Pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou kita tewas kepada Pakistan 2-0 dalam final dan misi membalas dendam harus dijelmakan anak didik Arul untuk mara sekali lagi ke final.
Sumber : Berita Harian