SKUAD PELAYARAN MALAYSIA MEMBAWA PULANG KEJAYAAN YANG MEMBANGGAKAN

SEPANG, 13 MAC 2016 – Skuad Pelayaran Malaysia berjaya mengesahkan dua tempat ke Sukan Olimpik 2016 yang akan berlangsung di Rio paa Ogos ini iaitu dalam kategori Laser Standard Lelaki dan Laser Radial Wanita menerusi kejayaan cemerlang pasukan negara dalam Kejohanan perahu layar ASAF (Persekutuan Pelayaran Asia) yang telah berlangsung di Abu Dhabi pada 5 hingga 12 Mac 2016 lalu.

Skuad pelayaran negara disambut meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam oleh Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelayaran Malaysia, Tuan Haji Mazlan bin Othman.

Beliau berkata, “Skuad Pelayaran Malaysia berjaya merekodkan sejarah baru dalam sukan pelayaran negara di mana ini merupakan kali pertama pasukan negara berjaya melayakkan diri dalam 2 kategori perahu layar ke temasya Sukan Olimpik tersebut”.

Menurut Tuan Haji Mazlan, “Malaysia telah menurunkan pelayar negara Khairulnizam Mohd Afendy, Ahmad Latif Khan Ali Sabri Khan dan Muhammad Farhan Hamid bagi ategori Laser Standard Lelaki manakal kategori Laser Radial Wanita pula diwakili Khairunneeta Mohd Afendy, Nur Syazrin Muhamad Latif dan Nurliyana Muhamad Latif”.

Beliau mengulas, ” Kemenangan cemerlang atlet Khairulnizam dan atlet Nur Syazrin dalam acara-acara individu tersebut di Abu Dhabi telah menempah negara Malaysia secara merit bagi sukan pelayaran Olimpik Rio 2016″.

Kejohanan perahu layar tersebut dianjurkan oleh Persekutuan Pelayaran Asia (ASAF) dengan kerjasama Persekutuan Pelayaran Dunia (World Sailing) dan Persekutuan Pelayaran Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan diiktiraf oleh World Sailing sebagai pertandingan kelayakan Olimpik Rio 2016 peringkat benua Asia 49er Men dab 49er FX Women. Kejohanan tersebut dosertai 94 pelayar dari 21 buah negara Asia termasuk Jepun, Korea, Singapura, Thailand, Hong Kong dan India dengan penyertaan paling ramai dari negara-negara timur tengah seperti UAE, Oman, Iran dan Bahrain.

Menurut Haji Mazlan, “Kejohanan ini merupakan kejohanan perahu layar kelayakan Olimpik Rio 2016 yang terbesar dan juga terakhir buat negara-negara benua Asia. Kami bersyukur dan berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan KFC Holdings (M) Sdn. Bhd. serta semua pihak yang telah memberikan sokongan kepada Persatuan dan pasukan perahu layar negara.”

 

Sumber : Persatuan Pelayaran Malaysia