Peranan pasukan perubatan, sains sukan pacu prestasi atlet

HANOI, 13 Mei — Pada setiap temasya dan kejohanan sukan utama, antara wira yang tidak didendang di belakang kejayaan dan perjuangan para atlet adalah pasukan perubatan dan sains sukan.

Doktor, ahli fisioterapi, pakar sains sukan, tukang urut dan pakar pemakanan sentiasa memastikan kesemua atlet berada pada tahap optimum untuk meneruskan perjuangan ketika tiba saat dinanti-nantikan setelah sekian lama melakukan persiapan.

Pasukan perubatan kontinjen Malaysia di Sukan SEA ke-31 di bawah kendalian Institut Sukan Negara (ISN) ketika ditemui Bernama di sini, berkongsi fungsi utama pasukan berkenaan khususnya apabila mengharungi temasya utama ketika fasa peralihan ke endemik.

Ketua Pegawai Perubatan Kontinjen ke Sukan SEA Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata 40 petugas termasuk enam doktor pakar telah ditugaskan bagi merawat dan menjaga atlet negara sepanjang temasya di Hanoi.

“Ia termasuk ahli fisiologi senaman, biomekanik dan pakar pemakanan serta tiga doktor pakar perubatan dari Kementerian Kesihatan untuk memastikan kita memberi rawatan terbaik dan cepat, selain membantu meningkatkan prestasi dan mempercepatkan pemulihan atlet,” katanya yang juga pakar perubatan ISN.

Beliau menjelaskan aspek perubatan sukan dan sains sukan saling berkaitan dalam memastikan prestasi atlet berada pada tahap terbaik.

“Jika dijelaskan menggunakan analogi kereta Formula Satu, perubatan ini umpama membaiki kereta yang rosak, kita bagi jalan, manakala sains sukan umpama meningkatkan prestasi kereta itu bagi mendapat keputusan lebih baik,” katanya.

Mengulas mengenai garis panduan COVID-19 ditetapkan oleh penganjur, Dr Ahmad Munawwar berkata setiap atlet yang didapati positif perlu dikuarantin dalam bilik masing-masing dan hanya dibenarkan untuk menamatkan kuarantin atau bertanding sekiranya diuji negatif bagi ujian RTK Antigen.

Beliau berkata walaupun kes di Vietnam sudah menurun kepada 3,000 kes sehari berbanding ratusan ribu kes sehari pada dua bulan lepas, atlet masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan.

Antaranya ialah tidak dibenarkan keluar dari gelembung sukan iaitu hanya dibenarkan untuk pergi ke venue pertandingan dan hotel penginapan, selain menjalani ujian sebelum dan selepas tiba di Vietnam, 24 jam sebelum pertandingan serta ujian setiap tiga hari bagi sukan yang melibatkan pertandingan tempoh panjang.

Dr Ahmad Munawwar turut mengesahkan bahawa tiada atlet Malaysia di Hanoi yang diuji positif COVID-19 mahupun mengalami kecederaan serius setakat ini kecuali pemain bola sepak Azam Azmi Murad yang mengalami kecederaan kepala ketika berdepan Thailand, Sabtu lepas.

Selain menyediakan ‘klinik mini’ di sebuah hotel di Hanoi, pasukan itu juga menyediakan kemudahan perubatan di Bac Ninh dan Quang Ninh selain pusat satelit di lokasi-lokasi lain untuk memberikan rawatan segera.

Antara fasiliti disediakan adalah rawatan kecemasan, kecederaan, perubatan, ultrabunyi, urutan sukan, pembantuan pemulihan, recovery boots dan mandian ais.

Beliau berkata sukan tempur seperti karate, silat, taekwondo, judo, jiujitsu dan kurash serta berbasikal lebuh raya, berbasikal bukit dan bola sepak adalah antara sukan memerlukan perhatian kerana risiko kecederaan tinggi.

“Kecederaan ini kadang-kadang tak kenal apa jenis sukan, sukan lain pun ada risiko seperti gimnastik dan wusyu. Walaupun risiko rendah sikit, masih ada risiko,” katanya.

-Bernama-