Operasi PPSN dilanjut hingga Sabtu bermula 4 Jun

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Institut Sukan Negara (ISN) akan melanjutkan operasi harian Pusat Perubatan Sukan Negara (PPSN) hingga Sabtu setiap minggu bermula 4 Jun depan berikutan permintaan perkhidmatan menggalakkan di pusat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Faedzal Md Ramli berkata ia bagi memberi peluang kepada golongan pekerja dan pelajar menggunakan perkidmatan PPSN tanpa mengganggu waktu bekerja dan persekolahan mereka.

‘’Objektif penubuhan PPSN sememangnya ingin menawarkan perkhidmatan perubatan sukan kepada orang awam selain kepada atlet negara.

‘’Jadi, apabila dapat maklum balas daripada orang ramai, kami berpandangan terdapat keperluan untuk ktia melanjutkan operasi hingga hari Sabtu, apstinya pada hari bekerja masyarakat tak dapat nak datang,’’ katanya yang dihubungi Bernama sebagai mengulas langkah ISN melanjutkan operasi PPSN hingga hujung minggu.

Ahmad Faedzal berkata ISN pada masa sama turut merancang untuk melantik mana-mana perkhidmatan perubatan sukan sama ada daripada kerajaan atau swasta yang berminat untuk menjadi pusat satelit kepada ISN pada hjung tahun ini.

Beliau berkata lantikan pusat satelit ISN sebaga ejen yang menawarkan perkidmatan serupa PPSN itu sebagai langkah menawarkan perkhidmatan kepada segenap masyarakat di seluruh negara.

‘’Pusat satelit ISN ini bukanlah cawangan kita tetapi ia sebagai pasangan kolaborasi PPSN.

‘’Ada proses yang perlu mereka (pusat satelit) lalui untuk dapat pengiktirafan itu, selepas itu pusat tersebut boleh memasarkan pusat mereka sebagai pusat satelit ISN yang meyakinkan masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan di tempat mereka,’’ katanya.

Menurutnya dengan cara itu, pihak ISN dapat meluaskan perkhidmatan perubatan sukan di seluruh negara tanpa memerlukan kos yang tinggi bagi membina PPSN baharu.

PPSN yang terletak di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil mula beroperasi sejak 1 Julai 2019 dengan menawarkan tujuh perkihdmatan utama seperti klinik pakar perubatan sukan, fisioterapi dan rehabilitasi, urutan sukan dan pemulihan serta rujukan dan kepakaran.

-Bernama-