Kuala Lumpur: Komitmen luar biasa dalam mengumpul data penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan WXR-Vorteq berjaya menghadiahkan sebutir perak buat negara di temasya Olimpik, Tokyo.
Pelumba basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang membuktikannya pentingnya sains dalam sukan dan teknologi untuk terus memacu kejayaan atlet.
Memiliki susuk tubuh paling kecil di kalangan pelumba di Velodrom Izu, Azizul berjaya menyerap tekanan untuk menakluk dunia dan percaturan Institut Sukan Negara (ISN) menggunakan jentera WX-R Vorteq bernilai RM300,000 dianggap berbaloi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md. Ramli berkata, usaha dan kajian akan diteruskan untuk misi Olimpik Paris 2024.
“Saya gembira melihat pencapaian Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus dan pasukan. Terima kasih kerana menghadiahkan perak pertama negara dalam acara trek berbasikal.
“Terima kasih kepada ketua jurulatih John Beasley yang menjadi tonggak kekuatan kepada pasukan, Harnizam Basri (MSN), Mohd Izham Mohamad (ketua pasukan), Dr Scott Gardner (saintis kanan) dan Mollynica Juanis (tukang urut).
“Juga terima kasih kepada TotalSim. LTD kerana memberi komitmen luas biasa dalam mengumpul ribuan data R&D untuk menghasilkan WXR-Vorteq.
“Berehatlah kerana tugas untuk Paris 2024 akan bermula selepas ini,” katanya.
Temasya Olimpik Tokyo 2020 kali ini menyaksikan Azizulhasni dan Shah Firdaus menggunakan basikal WX-R Vorteq dengan setiap pelumba dibekalkan tiga basikal berkenaan.
Basikal berkenaan diperbuat daripada bahan karbon fiber yang lebih keras, tetapi ringan dengan menggunakan teknologi aerodinamik terkini untuk memastikan rintangan angin lebih rendah.
Basikal model WX-R Vorteq itu juga sudah berada di pasaran sejak 1 Januari tahun lalu.
Sumber: Harian Metro