National Summit for Sports Performance Research (SUMMIT 2021)

19 Ogos 2021 – Buat julung kalinya, Institut Sukan Negara (ISN) telah mengadakan National Summit for Sports Performance Research (SUMMIT2021) yang mengumpul jurulatih, pengurus dan saintis sukan bersama-sama dengan penyelidik daripada pelbagai organisasi. Seramai 243 peserta menghadiri persidangan yang dijalankan pada 18 hingga 19 Ogos 2021 secara atas talian. Persidangan ini memfokuskan kepada 15 sukan iaitu memanah, badminton, basikal, terjun, olahraga, perahu layar, gimrama, menembak, hoki, bola sepak, karate, skuash, ping pong, angkat berat dan wushu.

Peserta-peserta telah membincangkan mengenai isu berkaitan sukan yang menjurus kepada analisis keperluan untuk peningkatan prestasi sukan khususnya bagi persediaan menghadapi temasya utama seperti Olimpik dan Kejohanan Dunia. Sebanyak 184 sumbangan idea bidang penyelidikan utama (research priority areas) prestasi sukan yang diterima oleh pihak ISN sebelum persidangan berlangsung. Hasil perbincangan menerusi platform persidangan ini telah mencapai satu konsensus bagi fokus bidang penyelidikan utama iaitu sebanyak 29 cadangan oleh pihak saintis dan penyelidik, manakala 14 cadangan oleh pihak jurulatih. Cadangan bidang penyelidikan utama ini membolehkan ISN untuk merancang inisiatif penyelidikan sains, perubatan dan teknologi sukan dengan lebih terperinci.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Datuk M. Noor Azman Bin Taib, turut menghargai perkongsian pengetahuan dan kepakaran daripada pelbagai latar belakang demi mencapai matlamat yang sama iaitu kecemerlangan prestasi sukan dipersada antarabangsa. Perkembangan jaringan kerjasama di antara jurulatih, pengurus, saintis dan penyelidik juga merupakan salah satu objektif utama persidangan ini. Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Inovasi ISN, YBrs. Dr. Yeo Wee Kian berkongsi mengenai pelan penyelidikan prestasi sukan dan menjangkakan bahawa hasil cadangan bidang penyelidikan utama daripada persidangan ini dapat dikongsi dalam persidangan yang sama di masa akan datang. Beliau turut amat mengalu-alukan dan menghargai kerjasama daripada semua pihak khususnya pihak Persatuan Sukan Kebangsaan, Majlis Sukan Negara serta semua institusi pengajian tinggi yang terlibat.