PEMAKANAN sukan bukan sahaja untuk kelangsungan hidup atlet tetapi turut menyumbang kepada perancangan strategi dalam sesuatu pertandingan.
Bagi sukan berkaitan kategori berat badan seperti angkat berat dan sukan tempur yang mempunyai sentuhan, bidang pemakanan sukan ISN amat diperlukan bagi membantu kepada kejayaan atlet terutama strategi ‘weight making’ untuk menurunkan berat badan sebelum proses timbangan
Kata Wen Jin, strategi berkenaan sering digunakan dalam sukan tempur yang mempunyai banyak pusingan saingan seperti karate, taekwondo, muay serta tinju.
Kebiasaannya atlet akan menyertai kategori yang kurang daripada berat badan mereka dan menurunkan berat badan dalam tempoh tertentu untuk membolehkan mereka bersaing.
“Secara logiknya semua atlet yang mempunyai berat badan lebih daripada acara disertai akan memperoleh kelebihan biarpun tidak banyak namun semuanya tetap diambil kira andai mahu mendapatkan kemenangan.
“Sebagai contoh jika berat atlet itu adalah 70 kilogram dan dia menyertai acara 65kg maka proses menurunkan berat badan akan berjalan bergantung kepada tahap kemampuan atlet berkenaan kerana ada yang boleh menurunkan berat dalam tempoh tiga hari atau seminggu.
“Dalam proses ini, tugasan pihak kami adalah memastikan segala pemakanan atlet harus dipantau dan mereka diajar minum dan makan dengan cara terbaik bagi menurunkan berat badan.
“Kebiasaannya dalam tempoh singkat, berat boleh dikurangkan menerusi pengurangan cecair dalam badan serta saki baki dalam saluran pemakanan badan.
“Selepas proses timbang selesai untuk menyertai acara kategori mereka maka tugasan seterusnya adalah pemulihan dalam masa singkat sebelum bertanding,” kata Wen Jin.
Proses pemulihan dilihat lebih mencabar berbanding menurunkan kerana atlet perlu memanfaatkan tempoh masa singkat bermula selepas sesi timbang menjelang pertandingan yang ada kalanya tidak mempunyai peluang pemulihan yang mencukupi.
“Tempoh masa selepas timbang sebelum beraksi biasanya bergantung kepada jenis sukan dan ketetapan daripada penganjur.
“Ada yang dua jam atau lebih, tiada yang spesifik dan ini untuk sukan-sukan tempur sentuhan kecuali pencak silat.
“Pencak silat kita tidak boleh mengadaptasi strategi sebegini kerana selepas timbang, atlet terus beraksi dan tiada jurang masa untuk pemulihan,” kata Wen Jin.
Proses pemulihan selalunya menerusi pengambilan makanan yang mudah dan cepat diserap oleh badan dengan keutamaan kepada karbohidrat bagi mendapatkan tenaga dan minuman tenaga bagi menambah cecair badan.
Jenis makanan yang akan dibekalkan ialah seperti gel tenaga, bubur, sandwich dan bergantung kepada apa keperluan diinginkan bagi atlet tersebut.
“Strategi ‘weight making’ perlu dicuba dan diubahsuai mengikut kesesuaian seseorang atlet itu ketika fasa latihan dan apabila pertandingan berlangsung maka kami akan menggunakan strategi apa yang sesuai bagi mereka.
“Atlet adalah manusia biasa yang mempunyai tahap kemampuan dalam badan yang berbeza dan kerana itu ia perlu diuji terlebih dahulu,” katanya lagi.