Itu antara peluang baharu yang mahu diterokai Ketua Pegawai Eksekutif ISN yang baharu, Ahmad Faedzal Md. Ramli sebagai tumpuan jangka panjangnya sebaik dilantik ke jawatan ‘kerusi panas’ itu.

Bagaimanapun bagi tumpuan segera atau jangka pendeknya ketika ini ialah untuk memperbaiki lagi pentadbiran sedia ada dari segi kawalan dalaman, prosedur, pengurusan dan penggunaan sumber manusia.

“Perkara pertama yang akan saya lakukan ialah mengadakan sesi khas untuk mendengar masalah yang dihadapi kakita­ngan di sini. Saya sedia mendengar apa jua rungutan tentang masalah-masalah yang timbul sebelum ini.

“Pada saya, yang pa­ling utama ialah mewujudkan suasana kerja harmoni supaya semua kakitangan seronok bekerja dan melupakan sebarang masalah yang pernah timbul sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar pertamanya sebagai CEO ISN di sini hari ini.

Ahmad Faedzal, 41, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Sukan dari Florida State University, sebelum ini merupakan Setiausaha Agung Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) dan memiliki Lesen Jurulatih Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Tahap 1.

Beliau turut terlibat secara langsung dalam beberapa urusan bersama pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan ISN serta memiliki pengetahuan yang luas tentang agensi-agensi ini ketika memegang jawatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU).

Selain itu beliau juga mempunyai pengalaman dalam bidang sukan sebagai pemain bola sepak dalam Piala Emas Raja-Raja (2001 & 2002), Kejohanan MAKSAK Malaysia (2018) dan pelbagai lagi.

Ahmad Faedzal menegaskan, beliau tidak bercadang menambah pakar asing, sebaliknya akan menggunakan tenaga tempatan sedia ada yang sudah berpengalaman memperkukuhkan agensi itu.

“Tiga tahun timba pengalaman de­ngan pakar asing yang datang dan pergi sepanjang mengendalikan Program Podium sebelum ini, saya rasa ia sudah cukup. Kita akan guna pakar tempatan untuk baki dua tahun lagi dalam menyokong MSN merealisasikan pingat emas pertama Sukan Olimpik 2020,” tambahnya.

Ketika ini masih ada tujuh ahli fisiologi asing yang be­kerja dengan ISN untuk memberi perkhidmatan.

Sehingga ini katanya, ISN masih menerima peruntukan RM15 juta untuk menyediakan perkhidmatan sains sukan kepada atlet negara secara percuma walaupun tidak lagi me­ngendalikan podium.