Pegawai ISN Pacu Skuad B-23

PETALING JAYA: Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee mengharapkan dua pegawai sokongan daripada Institut Sukan Negara (ISN) akan terus bersama skuad B-22 negara ke Kejuaraan AFF dan Kelayakan Kejuaraan AFC B-23, penghujung Mac ini.

Ketika ini, dua pegawai terdiri daripada pakar nutrisi dan psikologi, Norazmi Ramly serta penganalisa prestasi, Ahmad Hilmi Abdul Latif hanya akan dilepaskan menyertai pasukan dalam latihan dan tiga aksi persahabatan di Bangkok, Thailand, bermula Ahad ini.

“Lewat malam semalam saya ada menerima mesej daripada pegawai ISN menyatakan mereka (Norazmi dan Ahmad Hilmi) dilepaskan untuk program di Bangkok saja.

“Saya masih menunggu masa sesuai untuk bertemu pegawai atasan dan saya harap mereka akan dilepaskan (sertai pasukan) ke Kejuaraan AFF dan paling penting adalah Kelayakan Kejuaraan AFC,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertama di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Pada sesi latihan semalam, latihan skuad negara tanpa enam pemain dari Kelantan, seorang pemain dari Kedah dan dua pemain Pahang.

Manakala Muhammad Izzan Syahmi Mustapa (Terengganu) dan Ariff Ar-Rasyid Ariffin (PKNS FC) turut tidak menyertai pasukan ekoran mengalami kecederaan betis kanan dan demam.

Sebelum bertolak ke Bangkok, Sabtu ini skuad negara dijadualkan berdepan MIFA dalam aksi persahabatan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Kita akan lihat situasi ini dalam beberapa hari sebelum ke Bangkok tetapi saya rasa itu tidak jadi masalah besar.

“R Kogileswaran dan Mohd Faisal Abdul Halim akan bersama kita di Bangkok kerana mereka berada di sana bersama pasukan Pahang,” katanya.