Pengambilan makanan dan minuman pada masa yang sesuai dengan tujuan untuk memberi tenaga kepada badan bagi mencapai prestasi maksimum adalah kunci kepada pemakanan prestasi.

Tugas seorang pegawai dalam bidang Dietetik Sukan, Institut Sukan Negara (ISN) bukan mudah, malah, peranan mereka mampu menjadi penentu kejayaan atlet dalam pertandingan.

Bagi mendalami kepentingan bidang berkenaan, wartawan Utusan Malaysia, ZAZALI JAMIAN menemuramah Ketua Cawangan Sains Sukan ISN, MOHD. QUSYAIRY AJMAIN MOHD. AMIN yang turut berkongsi pengalaman dan cabaran dilalui ketika bertugas
sebagai pegawai dietetik buat skuad hoki remaja pada 2013.

ENAM bulan sebelum bermulanya kempen Hoki Piala Dunia Remaja 2013 di India, Mohd. Qusyairy telahpun menggerakkan langkah awal memastikan segala persiapan skuad negara tidak terganggu sepanjang saingan berlangsung.

Ketika itu apa yang bermain difikiran Mohd. Qusyairy adalah berkaitan kualiti kebersihan makanan dan minuman di India, selain, kebimbangannya andai ada pemain takut untuk makan yang boleh menjejaskan hampir keseluruhan kecergasan sewaktu perlawanan.

Perancangan Mohd. Qusyairy sebelum pasukan bertolak ke India adalah mendapatkan kerjasama dengan Kedutaan Malaysia di New Delhi bagi membekalkan bahan mentah bersih seperti ayam, daging dan minuman kerana dia mahu memastikan pemain selesa makan ketika di India.

Semua pemain diminta menyenaraikan apa sahaja makanan diinginkan sebelum bertolak ke India, malah, mereka bebas membuat pilihan dan dalam masa sama Mohd. Qusyairy akan memastikan ia dimasak penuh khasiat dengan mengurangkan lemak serta beberapa elemen lain tanpa terlalu merosakkan rasa makanan berkenaan.

Sewaktu di India, Mohd. Qusyairy harus memastikan semua pemain mengambil makanan akhir mereka empat jam sebelum perlawanan bermula dan satu jam sebelum aksi berlangsung, mereka perlu makan buah-buahan seperti pisang, anggur atau gel tenaga.

Selepas perlawanan tamat, dalam tempoh 30 minit pertama perkara yang harus dilakukan oleh atlet atau pemain ialah mengambil minuman campuran protein dan karbohidrat ketika sesi menyejukkan badan, ia penting untuk proses pemulihan badan akibat kehilangan tenaga.

“Di India banyak isu atlet yang cirit-birit kerana perut mereka tidak serasi dengan pemakanan di sana, selain, isu kebersihan.

“Saya banyak belajar daripada pengalaman lampau agar tidak membataskan apa yang pemain ingin makan kerana pernah sebelum ini saya menyediakan makanan berkhasiat ala barat, namun, ia tidak mampu membangkitkan selera pemain, sekali gus menyebabkan mereka tidak memperoleh tenaga sepatutnya.

“Pemain perlu makan apa yang mereka inginkan dalam masa sama mengambil kira keperluan asas, malah, ada juga makanan yang disediakan sedikit pedas dan berlemak. Ia dibenarkan tetapi dengan cara mengikut jadual.

“Contohnya mereka diberikan makanan pedas ketika hari yang tiada perlawanan, manakala, hari-hari lain yang mempunyai perlawanan, atlet akan mengambil makanan tinggi karbohidrat bagi membekalkan lebih tenaga.

“Di India makanan mereka dimasak oleh kumpulan isteri pegawai Kedutaan Malaysia di New Delhi, manakala, bilik saya akan menjadi ruang makan buat semua pemain. Kesemua makanan mereka adalah masakan Malaysia dan kurang lemak,” kata Mohd. Qusyairy.

Jelasnya, dalam tempoh dua jam selepas perlawanan pemain perlu makan dan sejam selepas itu harus tidur bagi mendapatkan rehat selama lapan jam.

“Pernah ada pasukan dari negara lain yang mengalami cirit-birit ketika kempen Piala Dunia tersebut dan saya bersyukur pasukan negara dapat mengelak masalah berkenaan. Paling membanggakan saya adalah apabila kesemua hasil kerja dapat membantu pasukan meraih tempat keempat dalam Piala Dunia Remaja 2013,” katanya.