KEKUATAN fizikal adalah faktor utama dalam menentukan kejayaan sebahagian besar atlet, justeru teknik yang tepat sangat diperlukan setiap ahli sukan bukan sahaja bagi membolehkan prestasi mereka berada pada tahap optimum tetapi dalam masa sama mengurangkan risiko kecederaan.
Bagi memastikan setiap teknik yang digunakan adalah tepat, selain, mampu mengurangkan risiko kecederaan, pendekatan biomekanik sangat penting bagi membolehkan penilaian fizikal terperinci dilakukan bermula dari cara berdiri sehingga tamat melakukan rutin sukan.
Mungkin orang ramai hanya melihat atlet melakukan persiapan dari segi fizikal, namun, pada hakikatnya, pakaian juga memberi kesan besar kepada sesetengah jenis sukan.
Bagi mendalami aspek biomekanik, wartawan Utusan Malaysia, NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR menemubual Ketua Pusat Biomekanik dan Analisis Prestasi Sukan Insitut Sukan Negara (ISN), Chok Chuen Leang untuk melihat pendekatan yang digunakan atlet.
BAGI mereka yang terlibat dengan sukan seperti berbasikal, renang dan olahraga, selain, kekuatan fizikal serta teknik yang digunakan, pemakaian semasa pertandingan juga antara penyumbang kepada persembahan.
Chuen Leang berkata, pakaian menjadi antara faktor penyumbang kepada sukan yang melibatkan kelajuan dan tidak begitu memberi kesan kepada sukan subjektif seperti wusyu, gimnastik dan gimrama kerana ia lebih kepada nilai estetika pertandingan.
“Jika dilihat sebenarnya pakaian ada memainkan peranan penting dalam sukan yang melibatkan kelajuan seperti renang dan larian, selain, berbasikal.
“Pakaian khusus direka untuk mengurangkan rintangan bagi membolehkan atlet beraksi pada tahap optimum tanpa perlu menggunakan tenaga yang banyak. Paling penting setiap atlet perlu memakai pakaian yang selesa supaya tiada sebarang gangguan semasa beraksi,” katanya.
Pusat Kajian Ergonomic Alam Sekitar Loughborough Design School sebelum ini berjaya menghasilkan rekaan yang memberi tumpuan kepada proses mengekalkan haba otot atlet dan atas usaha itu, pengeluar peralatan sukan terkemuka dunia, Adidas menghasilkan pakaian khusus untuk skuad berbasikal Great Britain.
Rekaan pakaian itu terbukti berkesan secara saintifik dalam meningkatkan prestasi semasa melakukan pecutan dan hasilnya Chris Hoy serta Victoria Pendleton berjaya meraih pingat emas pada Sukan Olimpik 2012.
Pada 2010, atlet renang diharam menggunakan pakaian yang dibuat daripada polyurethane kerana ia membantu mencipta aliran lebih aerodinamik kepada perenang semasa bertanding, selain, membuatkan mereka terapung lebih tinggi semasa di dalam air dan secara tidak langsung membantu atlet berenang lebih pantas.
Selain pakaian, Chuen Leang memberitahu, biomekanik tidak terhad kepada teknologi pakaian semata-mata, sebaliknya turut terarah untuk kajian terhadap struktur serta pergerakan fizikal atlet dan ia bertujuan mengoptimumkan prestasi dengan menggunakan teknik yang betul.
Katanya, kajian-kajian itu dilakukan dengan bantuan peralatan seperti mesin isokinetik, sistem analisis pergerakan tiga dimensi, kamera kelajuan tinggi, force platform, pressure measurement system, radar gun, kamera dalam air, eye tracker, instrumented treadmill dan elektromiografi (EMG) yang digunakan mengikut keperluan sukan.
Peralatan-peralatan itu digunakan bagi mengukur prestasi semasa atlet dan setiap pergerakan mereka dinilai secara terperinci bagi memastikan ia mencapai tahap optimum dengan kadar paling efisyen.
“Kami akan lihat pergerakan itu secara teperinci dan mencari ruang yang boleh diperbaiki sebelum cadangan diberikan kepada jurulatih bagi menambah baik teknik atau latihan. Atlet akan dinilai cara mereka berjalan, berlari, melompat, berpusing, mendarat selepas lakukan lompatan dan beberapa perkara lain bergantung kepada sukan. Kaedah itu, dapat kurangkan risiko kecederaan,” ujarnya.