KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) berpandangan cadangan mewujudkan sebuah badan berkanun seperti Majlis Sukan Negara (MSN) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi meluaskan pencarian atlet berprestasi tinggi buat negara adalah tidak sesuai.
Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, berkata pihaknya akan melancarkan Pelan Bakat Sukan Kebangsaan (MyAktif) sebagai satu dokumen strategik dalam memacu pemegang taruh mencapai matlamat pengenalpastian dan pembangunan bakat (TID) negara.
“Ini bagi memastikan kelestarian dan kesinambungan bakat sukan di dalam ekosistem pembangunan sukan kebangsaan mengikut inisiatif rentas kementerian, sektor swasta dan pemegang taruh berkaitan.
“Di samping itu juga, ia bagi meningkatkan pembabitan dalam gaya hidup aktif seiring aspirasi dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan (sporting nation),” katanya kepada BH Sukan.
Kenyataan Faedzal itu senada dengan bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong yang turut tidak bersetuju dengan saranan seorang seorang lagi bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Mazlan Ahmad yang menganggap penubuhan sebuah badan berkanun di bawah KPM yang berfungsi seperti MSN perlu sekiranya arena sukan negara mahu lebih menyerlah pada Sukan Olimpik pada masa depan.
Mengulas lanjut, Faedzal, berkata dokumen Pelan Bakat Sukan Kebangsaan berkenaan mampu bertindak sebagai ejen perpaduan yang berkesan dalam memacu dan mendidik pemegang taruh yang relevan di semua peringkat untuk turut sama mengaplikasikan amalan terbaik dalam aliran masing-masing ke arah mengubah sukan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
“Dokumen Pelan Bakat Sukan Kebangsaan ini akan bertindak sebagai jambatan dalam menyediakan satu ekosistem sukan negara yang mampu menyumbang kepada peningkatan kumpulan bakat (talent pool) dan seterusnya kepada penghasilan atlet berprestasi tinggi di peringkat kebangsaan.
“Dokumen berkenaan kini dalam proses pengemaskinian akhir adalah dokumen sokongan untuk teras ketiga pembangunan bakat yang diaspirasikan dalam Visi Sukan Negara (VSN2030). Dokumen ini dijangka diedarkan selepas perasmian VSN 2030 yang dijadualkan secara tentatif pada Oktober ini,” katanya.
Sumber : Berita Harian