INSTITUT SUKAN NEGARA SAMBUT ULANG TAHUN KE-10.

BUKIT JALIL, 15 SEPTEMBER 2021 – Sedekad yang lalu, Institut Sukan Negara (ISN) telah ditubuhkan secara rasmi sebagai sebuah agensi sukan berprestasi tinggi negara yang bertunjangkan sains, perubatan dan teknologi sukan. Selama sedekad ISN juga telah memainkan peranan cemerlang di dalam ekosistem sukan negara.
Bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-10 ISN pada 16 September 2021, ISN ingin memperkenalkan sambutan “ISN10” yang merupakan simbolik kepada peranan penting ISN di dalam kemajuan sukan negara dan tekad warga ISN bagi meneruskan legasi kecemerlangan di dekad mendatang. Bagi memeriahkan dekad yang penuh bermakna ini, pelbagai aktiviti dan inisiatif baharu akan diperkenalkan sepanjang tahun 2021.
Kecemerlangan dan kejayaan dalam peningkatan prestasi atlet dan sukan negara menjadi fokus utama ISN kerana kejayaan melahirkan atlet bertaraf dunia adalah melalui penerapan elemen sains, perubatan dan teknologi sukan yang bermula dari peringkat akar umbi sehinggalah menjadi seorang atlet bertaraf dunia.
Selaku pasukan di sebalik tabir, kami di ISN telah diamanahkan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin demi kegemilangan sukan negara. Di dalam usaha menjadi agensi sukan berprestasi tinggi ternama, ISN mengambil pendekatan yang sangat realistik. Tanpa jemu, ISN akan terus menyumbang idea baharu dan inovasi bernilai kepada sukan Negara.

Adalah menjadi harapan warga ISN, agar semua inisiatif-inisiatif ISN dengan visi sebagai peneraju sains, perubatan dan teknologi sukan akan dapat melahirkan atlet yang bertaraf dunia serta menaikkan imej sukan di peringkat antarabangsa.