MUHAMMAD IRFAN PERBAHARUI REKOD KEBANGSAAN LEMPAR CAKERA DI SUKMA

KANGAR — Atlet negara Muhammad Irfan Shamsuddin nyata sukar digugat apabila sekali lagi memecah rekod kebangsaan acara lempar cakera pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-17 di Stadium Tuanku Syed Putra pada Sabtu.

Muhammad Irfan yang mewakili Negeri Sembilan membuat lontaran sejauh 54.26 meter sekali gus memperbaharui rekodnya pada Sukan SEA, Myanmar 2013 dengan catatan 53.16m.
Beliau turut mencipta rekod Sukma baharu yang dilakukan Mohd Hasrolnizam Yaakob iaitu 45.89m, pada Sukma Kedah 2006.

Pingat perak menjadi milik Muhammad Ikbal Kamaruddin dari Terengganu dengan catatan 39.76m manakala pingat gangsa diraih Muhammad Afifi Najiy Ali dari Negeri Sembilan, 39.71m.

Muhammad Irfan sebelum ini aktif dalam sukan ragbi sehingga 2011 berkata keputusannya untuk berubah angin ke sukan olahraga ternyata berbaloi apabila prestasinnya dalam olahraga semakin cemerlang.

“Dulu saya bermain ragbi dan pernah dinobatkan pemain terbaik bawah 19 tahun, bagi saya memang sangat berbaloi menukar acara sukan daripada ragbi kepada olahraga. Pingat emas pertama saya dalam acara lempar cakera ialah pada Sukma 2012 di Pahang,” katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas tentang prestasinya hari ini, pelajar Universiti Malaya (UM) itu berkata beliau sudah menjangkakan kilauan emas namun tidak terfikir untuk memecah rekod kebangsaan miliknya sendiri.

“Boleh dikatakan pencapaian ini adalah permulaan terbaik pada tahun ini untuk lebih konsisten sebelum beraksi dalam beberapa kejohanan besar seperti Kejohanan Remaja Dunia di Amerika Syarikat Julai depan dan Sukan Asia di Korea Selatan September ini,” katanya.

Sementara itu atlet Wilayah Persekutuan Elena Goh pula menepati sasaran selepas meraih pingat emas kedua dalam acara 10,000 meter jalan kaki wanita dengan masa 54 minit 06.25 saat meninggalkan Pua Ling En dari Johor, 55:43.67s di tempat kedua.

Sementara Nur Aisyah Ahmat dari Sarawak meraih pingat gangsa, 56:43.67s.

Elena turut meraih pingat emas dalam acara 5,000m pada acara pertama olahraga.

“Saya gembira sasaran tercapai, sebenarnya saya mahu memperbaiki catatan masa tetapi beraksi di dalam negara susah sikit kerana tiada saingan berbeza jika saya bersaing di luar negara. Dalam acara jalan kaki ini, mental kena kuat,” katanya.