Piala Dunia saksikan ‘cooling break’ pertama kali dalam sejarah

FORTALEZA: Akibat cuaca yang terlalu panas, peminat bolasepak buat pertama kalinya telah menyaksikan tempoh rehat ‘cooling break’ dalam sejarah kejohanan Piala Dunia FIFA.

Tempoh rehat selama 3 minit itu telah diarahkan oleh pengadil dari Portugal, Pedro Proenca sewaktu perlawanan pusingan kedua di antara Belanda dengan Mexico di Fortaleza.

Perlawanan ketika itu memasuki minit ke-30 apabila pengadil memutuskan untuk menggunakan peraturan baru FIFA bagi membenarkan pemain berehat sebentar bagi menyejukkan badan apabila suhu melebihi 32 darjah Celsius.

Suhu ketika perlawanan meningkat sehingga 39 darjah Celsius, dan kali kedua pengadil mengarahkan ‘cooling break’ ialah pada minit ke-75.

Difahamkan, FIFA bagaimanapun tidak bercadang untuk menggunakannya pada kesemua perlawanan. Sebaliknya keputusan untuk mengadakan ‘cooling break’ itu akan bergantung kepada situasi setiap perlawanan.

Sementara itu, di media sosial, tidak sampai 10 minit selepas ‘cooling break’ digunakan, ungkapan tersebut telah menjadi bualan hangat dan trending oleh warga Twitter.

Rata-rata mereka ada yang hairan dan pelik dengan penggunaan peraturan baru oleh FIFA itu.