Kursus Persediaan Bantuan Awal dalam Sukan

Nama Kursus: Level 1 First Aid in Sports (World Rugby)
Tarikh: 28 dan 29 Mac 2019
Tempat: Bilik CME, Bahagian Perubatan Sukan ISN
Penceramah:

  1. Dr Azril Syazwan Bin Mohd Ali, Pakar Perubatan Sukan
  2. Nurdiasafra Bt Hassan, Jurupulih Anggota

Latihan persediaan bantuan awal dalam sukan adalah amat penting untuk memastikan setiap petugas mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang secukupnya bagi membantu sesiapa sahaja yang tercedera atau mengalami kecemasan dan memastikan keadaan selamat sebelum bantuan perubatan lanjut tiba.

Kursus ini dilaksanakan mengikut ketetapan daripada badan sukan ragbi dunia atau World Rugby yang menerajui bidang penjagaan perubatan dan kebajikan pemain dalam sukan lasak ini yang tidak pernah sunyi daripada isu-isu kecederaan pemain termasuk kecederaan serius melibatkan gegaran otak dan kecederaan tukang belakang. Kursus ini amat sesuai untuk diikuti oleh semua pihak yang mempunyai potensi untuk membantu atlet atau sesiapa sahaja yang mengalami kecederaan atau kecemasan semasa bersukan.

Kursus ini menerapkan sistem bantuan awal yang efektif dan praktikal mengikut keutamaan kecemasan dalam aspek menjaga keselamatan dan meneruskan kelangsungan hidup (ABC of life) semasa merawat mangsa yang tercedera. Pengajaran kursus ini merangkumi sesi perbincangan dan pembelanjaran dalam kumpulan kecil, sesi praktikal dan perkongsian pengalaman.

Sejak dilaksanakan pada 2 Ogos 2018 yang lalu, hingga kini sebanyak enam kursus latihan telah berjaya dilaksanakan untuk melatih anggota-anggota Institut Sukan Negara yang sentiasa bertugas untuk kesejahteraan atlet supaya sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan kecemasan di dalam atau di luar latihan dan pertandingan. Seramai 61 peserta pelbagai jawatan yang terdiri daripada kakitangan perubatan dan sains sukan termasuk kakitangan sokongan dan pentadbiran telah mengikuti kursus ini dengan jayanya.

Kursus ini telah memberi impak yang amat baik kepada pembangunan anggota dengan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keyakinan anggota semasa menjalankan perkhidmatan di samping membentuk semangat kerja secara berpasukan dan memberi panduan cara kerja yang sistematik apabila menghadapi kecemasan.

Kursus ini dinaung oleh Jawatankuasa Perubatan Malaysia Rugby dan disampaikan oleh tenaga pengajar Institut Sukan Negara yang diiktiraf oleh World Rugby iaitu Dr Azril Syazwan Bin Mohd Ali, Pakar Perubatan Sukan dari Cawangan Penjagaan Sukan dan Cik Nurdiasafra Bt Hassan, Jurupulih Anggota dari Cawangan Rehabilitasi Sukan.

Pada masa akan datang, diharap kursus latihan ini dapat diperkenalkan kepada lebih ramai penggiat sukan seperti jurulatih, pengurus sukan, pentadbir sukan, pegawai perubatan pasukan, atlet dan orang awam yang berminat dengan latihan kemahiran dan akreditasi yang ditawarkan.