ISN sedia bantu Syakilla turunkan berat badan

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Ramli, optimis mampu untuk menyelesaikan masalah berat badan jaguh karate negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan, sebelum atlet itu menyertai Kejohanan Karate Asia Tenggara di Bangkok, bulan depan.

Syakilla sekali lagi menghadapi masalah berat badan yang mengakibatkan dia terlepas dua Kejohanan K1 di Qatar dan Austria.

Kegagalan itu menjejaskan peluangnya untuk mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas hanya menduduki ranking ke-69 dalam kategori 55 kilogram.

Ia kali kedua Syakilla menghadapi masalah berat badan selepas berdepan perkara sama Julai tahun lalu.

Ahmad Faedzal menjelaskan dia akan bertemu Syakilla secara peribadi dalam masa terdekat untuk membantu pemenang pingat emas Sukan Asia Incheon 2014 itu.

“Kami akan terus memberikan sokongan kepadanya.

“Dia merupakan prospek pingat emas negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Kami akan berbincang dengannya mengenai perancangan kami untuk membantunya menurunkan berat badan dari 59 kepada 55 kilogram,” katanya.

Syakilla, 27, menjalani latihan di Amsterdam, Belanda, sebelum diarahkan pulang ke Malaysia selepas Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) menamatkan program itu gara-gara masalah berat badannya.

Bagaimanapun, dia yang sepatutnya mengikuti sesi latihan di bawah seliaan ketua jurulatih negara, Ali Reza Souleymani, tidak kelihatan di pusat latihan.