Seremban: “Saya akan membuat rayuan secepat mungkin kepada Agensi Anti Doping Antarabangsa (WADA) kerana dalam kes Tai Cheau Xuen, kami dapati dia tidak ada niat menggunakannya dan ia berbeza dengan beberapa kes lain sebelum ini,” kata ketua kontinjen negara ke Sukan Asia Incheon, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.
Beliau mengulas mengenai kemungkinan atlet wushu negara, Tai Cheau Xuen dikenakan penggantungan susulan gagal dalam ujian doping pada temasya Sukan Asia di Korea Selatan bulan lalu.
Katanya, pihaknya akan mengemukakan rayuan awal kepada WADA yang belum membuat keputusan mengenai kes itu.
“Kebiasaannya atlet yang didapati gagal dalam ujian doping akan berdepan penggantungan dua tahun selain pingat dimenangi ditarik balik, tapi selaku Chef de Mission Sukan Asia, saya akan membuat rayuan secepat mungkin kepada WADA.
“Dia (Cheau Xuen) tidak boleh dianggap penipu dalam perkara ini kerana dia tiada niat dan berbeza dalam beberapa kes lain, malah atlet itu juga dilihat jujur dalam persembahannya hingga membawa kepada kejayaan memenangi pingat emas.
“Saya ada alasan yang munasabah dan kukuh untuk mengemukakan rayuan awal kepada WADA. Kami bukan hendak melawan terhadap peraturan yang sudah ditetapkan itu kerana akur dengan undang-undang ujian doping sedia ada, tapi seharusnya pihak berkenaan dapat memberi kelonggaran dalam membuat keputusan terhadap atlet terbabit,” katanya.
Cheau Xuen, 23, atlet kelahiran Negeri Sembilan didapati positif menggunakan bahan terlarang jenis sibutramine selepas memenangi pingat emas dalam acara cara gabungan nanquan dan nandao wanita pada Sukan Asia, 20 September lalu.
Menurut Danyal, rayuan itu disokong Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) bagi memastikan minat dan komitmen atlet terbabit dalam sukan itu tidak terjejas.
Sumber : Harian Metro