APA ITU ‘PSIKOLOGI’ SUKAN?

Kebanyakan anggota masyarakat di negara ini mungkin memahami perkataan ‘psikologi’ berkait dengan emosi dan tingkah laku manusia, namun tidak ramai yang mengetahui tentang pertalian antara psikologi dan sukan.

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ‘psikologi’ ditakrifkan sebagai kajian tentang proses mental dan pemikiran yang menghubungkan perlakuan manusia dan haiwan.

Sukan’ pula terdiri daripada aktiviti fizikal yang dilakukan untuk pelbagai tujuan untuk pertandingan, keseronokan, pembangunan, kemahiran, kecemerlangan, dan sebagainya yang memerlukan tenaga dan ketangkasan.

Atas kesedaran itu, ramai jurulatih dan pengamal sukan di negara ini lebih menyedari pentingnya psikologi dalam membantu meningkatkan prestasi atlet.

Psikologi adalah sebuah bidang ilmu pengetahuan dan ilmu terapan yang mempelajari mengenai perilaku dan fungsi mental manusia secara ilmiah. Ia juga berkait rapat dengan emosi, perasaan dan tingkah laku dan secara realitinya semua individu tidak suka dipaksa dalam melakukan sesuatu perkara.

Ini juga menjadi isu yang dihadapi atlet mengenai sikap terbuka mereka sama ada untuk menerima sesuatu yang baharu atau tidak dalam kehidupan mereka.

Sehubungan dengan itu, kewujudan psikologi sukan di kalangan atlet amat penting untuk memupuk sikap atlet yang matang dan professional.

Bagi menjana kualiti atlet yang setaraf dengan atlet antarabangsa, ISN dengan kerjasama MSN dan agensi lain seperti Kementerian Pendidikan mewujudkan bengkel psikologi sukan kepada jurulatih dan pengamal sukan.

ISN juga menyediakan beberapa ahli psikologi sukan untuk kumpulan sukan tertentu dan mereka ini bertugas sepanjang masa bersama pasukan yang dipertanggungjawabkan dan bukan pada masa kejohanan sahaja.

Ringkasnya, seseorang ahli psikologi sukan bukan sahaja berminat untuk mengetahui apa yang berlaku digelanggang serta kesan langsung terhadap atlet serta pegawai yang terbabit malahan mereka terlibat secara tidak langsung diluar gelanggang permainan.

Pihak ISN telah merancang beberapa program yang bersesuaian dari aspek psikologi dan motivasi mengikut kumpulan sukan bagi membantu atlet meningkatkan prestasi mereka semasa latihan dan ketika pertandingan.

Antara program yang telah dirangka ialah sesi pendidikan, sesi praktikal, konsultansi secara individu atau berkumpulan, pemerhatian lapangan semasa latihan atau pertandingan dan melakukan ujian serta penilaian yang berkaitan.

Menerusi sesi pendidikan dan praktikal, para atlet akan didedahkan dengan teknik mengawal rasa kebimbangan dan kebangkitan pada diri mereka tetapi ia bergantung kepada atlet itu sendiri sama ada mahu mengaplikasikannya semasa latihan dan pertandingan.

Selain itu, teknik ini juga sama seperti latihan fizikal dan perlu membuat latihan berulang kali semasa latihan agar menjadi satu rutin dan akan bertindak secara automatik apabila diperlukan.

Walaubagimanapun, pandangan masyarakat atau penyokong tegar sesuatu jenis sukan tertentu terhadap atlet juga harus dititikberatkan kerana mereka sering, menyalahkan atlet atau jurulatih sekiranya atlet itu gagal meraih sebarang pingat semasa pertandingan atau kejohanan.

Ada beberapa pendapat di kalangan pakar sukan adalah tidak wajar melabelkan pengamal sukan melalui pemerhatian semata-mata kerana para penyelidik atau saintis sukan lebih minat mencari teknik atau kaedah yang dapat memberikan impak positif dalam prestasi atlet berbanding mencari kelemahan atau kekurangan seseorang individu tersebut.

Tahap kefahaman seseorang individu itu juga berlainan mengenai ‘psikologi’ kerana ia sangat subjektif menyebabkan pelbagai pihak lebih mudah memberikan persepsi mereka terhadap sesuatu situasi atau keadaan.