MUKADIMAH
SEMUA negara sanggup melakukan apa sahaja, termasuk berbelanja besar asalkan ia tidak melanggar undang-undang untuk memastikan atlet mereka dapat melakar kegemilangan.
Bagi negara-negara Eropah, teknologi sukan sentiasa berganti baharu dan berkembang dengan pantas kerana mereka sedar kepentingannya, malah Malaysia juga sedang menuju ke arah tersebut.
Di Malaysia, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sukan Institut Sukan Negara (ISN) memainkan peranan tersendiri bagi memastikan negara tidak ketinggalan jauh dalam arus teknologi sukan, sekali gus memastikan atlet negara mampu memberikan cabaran dengan jaguh-jaguh dunia.
Bagi mengetahui adakah benar kejuruteraan dan teknologi sukan mampu meningkatkan prestasi sukan negara, Wartawan Utusan Malaysia, ZAZALI JAMIAN menemubual Ketua Pusat Kecemerlangan Teknologi Sukan ISN, Syed Faris Syed Omar dalam ruangan Di Sebalik Tabir minggu ini.
SUKAN Olimpik 2020 di Tokyo bakal menyaksikan ISN mempertaruhkan senjata rahsia yang juga teknologi baharu mereka untuk digunapakai membantu atlet mencapai misi memburu pingat emas pertama.
Projek sulit ini sudah pun berjalan namun pendedahan terperinci melibatkan sukan mana, jenis peralatan dan atlet berkaitan masih dirahsiakan berikutan bimbang negara lain mencuri maklumat berkenaan.
Bagi Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Sukan ISN, semua ini adalah persaingan untuk mengelak Malaysia daripada ketinggalan dengan negara-negara lain yang sedang rancak membangunkan teknologi sukan masing-masing.
Misi mereka sentiasa sulit dan medan ‘persaingan’ ialah setiap kali Sukan Olimpik berlangsung dengan negara-negara lain juga akan mempertaruhkan teknologi sukan terbaharu bagi membantu kecemerlangan atlet.
Kata Syed Faris biarpun negara tidak terlalu ekstrem seperti negara membangun lain namun kemajuan teknologi sukan di Malaysia masih berada di landasan terbaik.
Ketika ini ISN sudah pun mencipta beberapa produk yang berjaya membantu atlet negara mencapai tahap prestasi optimum.
Antara produk tersebut ialah Mid–Thigh Pull yang lebih mobil dalam masa sama tidak mengganggu fungsi utamanya iaitu menyukat kekuatan kaki seseorang atlet.
“Boleh dikatakan hasil ciptaan kami ini (Mid-Thigh Pull) sesuatu yang membanggakan kerana berjaya merangkul naib juara kategori teknikal dalam pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif Kebangsaan (KIK) peringkat Kementerian Belia dan Sukan pada 2016.
“Produk lain yang nampak biasa tetapi banyak membantu atlet ialah Breathing Board yang menjadi panduan terbaik bernafas bagi mengelak atlet gemuruh selain mampu mengurangkan degupan jantung untuk membolehkan mereka tenang menghadapi cabaran,” kata Syed.
Dalam pada itu, Syed turut mendedahkan ketika ini pihaknya juga sedang menjalankan beberapa kajian untuk menghasilkan produk teknologi sukan terbaharu.
Paling mencuri tumpuan ialah jersi Malaysia yang mempunyai ciri-ciri mengagumkan.
“Perancangan kami adalah memastikan setiap corak di jersi berkenaan mempunyai fungsi-fungsi tertentu dan bukan lagi sekadar corak.
“Sebagai contoh corak belang yang ada harus mempunyai fungsi seperti menyerap peluh atau membolehkan udara masuk agar tidak panas buat pemakainya.
“Fabrik juga kami kaji apa yang paling sesuai bagi sukan-sukan yang ada sebagai contoh sukan memanah mungkin perlu fabrik yang dapat menyokong otot-otot tangan buat pemanah dan sebagainya.
“Pihak kami juga ada melakukan beberapa modifikasi atas permintaan daripada saintis sukan atau jurulatih terlibat bagi memastikan atlet lebih selesa dan membuka peluang meraih kecemerlangan.
“Ketika ini kami juga sedang menghasilkan sesuatu yang amat istimewa untuk Sukan Olimpik 2020 melibatkan hujung rambut hingga hujung kaki atlet dan peralatan sukan terlibat secara spesifik.
“Bagaimanapun ia masih sulit untuk diperincikan kerana negara-negara lain juga melakukan perkara sama setiap kali Sukan Olimpik menjelma malah apabila temasya berprestij itu berakhir segala projek melibatkan teknologi sukan yang baharu akan bermula,” kata Syed.