SOALAN LAZIM

HUBUNGI KAMI

ADUAN & MAKLUMBALAW

PETA LAMAN

MENTERI BELIA DAN SUKAN TINJAU EKOSISTEM SUKAN BERPRESTASI TINGGI DI INSTITUT SUKAN NEGARA

Bukit Jalil, 5 Februari — YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan, telah mengadakan lawatan kerja ke Institut Sukan Negara (ISN) bagi meninjau secara langsung ekosistem sokongan bersepadu yang disediakan kepada atlet negara dalam usaha melahirkan prestasi sukan bertaraf dunia.

Lawatan ini memberi pendedahan menyeluruh kepada peranan strategik ISN sebagai tulang belakang kejayaan sukan Malaysia, merangkumi penyediaan fasiliti berprestasi tinggi, perkhidmatan sains sukan, perubatan sukan, pemulihan atlet serta pembangunan bakat secara holistik.
Sepanjang sesi lawatan, YB Menteri telah dibawa melawat beberapa fasiliti utama ISN antaranya Pusat Perubatan Sukan Negara (PPSN), Bilik Urutan Sukan, TASKA Team MAS, Jungle Gym serta kemudahan sokongan atlet yang lain. Lawatan ini bertujuan memahami secara dekat keupayaan dan kesiapsiagaan ISN dalam menyokong keperluan atlet elit dan atlet pelapis negara.
YB Dr. Mohammed Taufiq Johari turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan profesionalisme warga ISN dalam memastikan kebajikan, kesihatan dan prestasi atlet sentiasa berada pada tahap optimum, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh ekosistem sukan berprestasi tinggi negara.
Lawatan kerja ini turut dihadiri oleh YBrs. Puan Chan Hong Jin, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Kementerian Belia dan Sukan, bersama pengurusan tertinggi ISN.
Institut Sukan Negara, agensi KBS yang memainkan peranan penting dalam ekosistem sukan berprestasi tinggi negara akan terus diperkasa bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan mampu mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.
Bersama, kita perkukuh ekosistem sukan negara demi Malaysia yang lebih berdaya saing di persada dunia.