Kota Kinabalu, 29 Ogos 2025 – Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN) telah merasmikan Pusat Satelit ISN-UMS serta menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi memperkukuh jaringan penyelidikan, pembangunan, dan perkhidmatan saintifik sukan di peringkat nasional.
Majlis penuh bersejarah ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, YBhg. Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, JP bersama barisan kepimpinan utama antaranya wakil Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dekan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, Prof. Madya Dr. Soon Singh A/L Bikar Singh, Ketua Pegawai Eksekutif ISN, YBrs. Dr. Vellapandian Ponnusamy, Pengerusi Lembaga ISN, Datuk Chin Leng Sim @ Marina Chin, serta Ketua Pusat Satelit ISN-UMS, Prof. Madya Dr. Mohd Rozilee Wazir.

Pelancaran Pusat Satelit ISN-UMS menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperluas capaian sains dan perubatan sukan di Sabah dan Malaysia Timur, dengan memberi tumpuan kepada:
- Penyelidikan saintifik sukan berimpak tinggi
- Perkhidmatan sokongan prestasi atlet
- Pembangunan kepakaran dalam bidang sains, perubatan, dan teknologi sukan
- Kerjasama akademik dan industri untuk manfaat komuniti sukan setempat
Menurut Dr. Vellapandian Ponnusamy, inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan ISN sebagai peneraju sains sukan negara, tetapi juga membuka peluang lebih luas kepada atlet, jurulatih, dan penyelidik di Sabah untuk mendapat akses kepada kemudahan serta kepakaran bertaraf dunia.

Sementara itu, UMS melihat kerjasama ini sebagai pemangkin pembangunan modal insan dalam bidang sukan, mempertingkatkan peluang latihan praktikal, serta memacu kajian inovatif yang boleh memberi impak terus kepada prestasi atlet tempatan dan kebangsaan.
Dengan termeterainya MoA ISN-UMS, kedua-dua pihak komited untuk terus mengembangkan potensi sains sukan di rantau ini, sekali gus menyokong aspirasi negara dalam melahirkan atlet bertaraf dunia.