Kuala Lumpur, 18 Ogos 2025 – Institut Sukan Negara (ISN) melalui Unit Integriti telah menganjurkan
ceramah bertajuk “Kesan Pelanggaran Tatakelola Dari Perspektif Audit” yang disampaikan oleh Encik Mohd
Khairul Rashdi bin Mohd Rashid, Ketua Program Pengauditan dari Akademi Audit Negara.
Sesi ceramah ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman warga kerja ISN mengenai
kepentingan pematuhan tatakelola yang baik dalam urusan pentadbiran dan pengurusan organisasi. Antara
fokus utama adalah penerangan tentang risiko serta implikasi pelanggaran tatakelola, khususnya dari sudut
audit, yang boleh memberi kesan kepada reputasi dan keberkesanan perkhidmatan.
Encik Mohd Khairul Rashdi menekankan bahawa tatakelola yang berintegriti merupakan asas kepada
pengurusan organisasi yang telus, cekap, dan berakauntabiliti. Beliau turut berkongsi contoh kes-kes
pelanggaran yang memberi pengajaran penting, di samping menekankan langkah-langkah pencegahan
yang boleh diamalkan oleh warga kerja.
Penganjuran ceramah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan ISN dalam memperkukuh budaya
kerja berintegriti, selaras dengan nilai Malaysia Madani serta aspirasi Reformasi Perkhidmatan Awam.