VELODROM NASIONAL NILAI ANTARA TERBAIK DUNIA-AZIZULHASNI AWANG

21 APRIL, NILAI- Jaguh keirin dunia, Azizulhasni Awang menyifatkan Velodrom Nasional Nilai di Negeri Sembilan adalah antara velodrome terbaik dunia.

Azizulhasni berkata demikian selepas diberi penghormatan menjadi individu pertama menguji trek bernilai RM 80 juta itu semalam.

Bagi Azizulhasni meskipun velodrom itu masih belum siap sepenuhnya, namun permukaan trek khususnya di kawasan selekoh disifatkan sudah berada dalam keadaan yang baik.

“Saya amat gembira menguji trek velodrom ini meskipun masih belum siap sepenuhnya. Keadaan di bahagian selekoh amat memuaskan dan hampir menyamai keadaan di Velodrom Hong Kong. Sepanjang pengalaman saya bergelar pelumba trek profesional, saya melihat ini adalah antara velodrom terbaik di dunia,” katanya.

Semalam Azizulhasni meluangkan masa hampir 1 jam menguji trek tersebut. Turut sama menyertai Azizuhasni dalam ujian trek itu adalah pelumba-pelumba dari skuad Kita Juara dan skuad paralimpik negara.

Velodrom Nilai dibina pada Januari 2015 mempunyai trek sepanjang 250 meter yang diperbuat daripada kayu jenis ‘spruce’ dengan kapasiti 2000 penonton. Selain trek basikal BMX, ia turut dilengkapi kemudahan seperti ruang pejabat, surau dan 20 fasiliti untuk kegunaan orang kurang upaya(OKU).

Lebih menarik, bukan sahaja penghargaan sebagai individu pertama menguji trek tersebut, Azizulhasni turut diberi penghargaan apabila tandatangannya turut diabadikan di kawasan garisan penamat trek tersebut.

Apapun harapan jaguh keirin dunia ini adalah kemudahan velodrom tertutup Nilai dapat dimanfaatkan sepenuhnya khususnya dalam program pembangunan bakat muda. Beliau turut berharap agar pelbagai aktiviti dirangka agar kemudahn itu tidak menjadi antara projek gajah putih seperti yang terjadi kepada beberapa kemudahan sukan sebelum ini.

“Di Melbourne, pelajar-pelajar sekolah sentiasa diberi peluang melawat velodrom ketika pelumba profesional menjalani latihan. Ini sedikit sebanyak dapat mendekatkan pelajar-pelajar tentang sukan berbasikal. Melalui pendekatan ini sudah pasti dapat memupuk keinginan mereka untuk mendalami sukan berbasikal sekaligus mampu melahirkan lebih ramai bakat-bakat muda,”tambahnya lagi.

Turut sama hadir pada sesi ujian trek di Veldrom  National Nilai semalam Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Dr. Mohd Khairi Zawi, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, dan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia(PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab.