BEKAS Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Elyas Omar tidak bersetuju dengan keputusan badan induk itu yang menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mencari penyelesaian terbaik dan membantu mempertahankan pemainnya yang gagal dalam ujian doping baru-baru ini.
Menganggap penubuhan itu hanya tindakan yang membuang masa, Elyas sebaliknya berkata, masih banyak mekanisme yang boleh dibuat badan induk itu untuk menyelesaikan masalah itu.
“Kenapa dengan menubuhkan jawatankuasa khas, adakah ia dapat membantu atlet tersebut?
“Inilah masalah persatuan kita, ada masalah tubuhkan jawatankuasa, ada sahaja masalah itu yang dibuatnya. Dah berapa banyak jawatankuasa khas yang kita ada, tapi tiada hasilnya juga.
“Kalau ada jawatankuasa pun, tapi tak diiringi dengan tindakan, tidak akan beri kesan. Semua itu hanya buang masa,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Kelmarin, dalam Mesyuarat Khas BAM memutuskan akan penubuhan jawatankuasa khas diketuai Timbalan Presiden BAM, Datuk Norza Zakaria bagi membantu mempertahankan pemainnya yang gagal dalam ujian doping.
Difahamkan, penubuhan jawatankuasa terbabit akan terdiri daripada 15 ahli dengan pelbagai latar belakang untuk dijadikan sebagai rujukan.
Dengan nada perli, Elyas berkata :”Banyak ahli, tapi tiada hasil, akhirnya kerja sia-sia dan atlet terabai. Bagi saya, tidak perlu ramai-ramai untuk membantu atlet itu.
“Cukuplah dengan satu wakil dari Institut Sukan Negara (ISN) dan satu wakil dari BAM. Kenapa nak lantik ramai-ramai?
“Saya juga rasa dalam hal ini, BAM seharusnya berjumpa dengan atlet tersebut dan tanya bagaimana insiden itu berlaku dan siapa yang menyarankannya?
“Selepas itu, siasat orang terbabit itu pula. Baru semuanya akan terungkai dengan cepat sementara kita menunggu keputusan sampel B.
“Ini sikit-sikit tubuh jawatankuasa. Apa pun, itu semua hak BAM untuk melakukannya cuma bagi saya ia tak perlu sebenarnya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian