GIMNASIUM bukan sekadar untuk membentuk tubuh badan, tetapi, keperluannya kepada atlet lebih daripada itu. Di ISN, gimnasium berfungsi untuk meningkatkan keupayaan prestasi ke tahap maksimum, malah, ia umpama ‘bengkel modifikasi’ buat atlet.
Erik yang telah berada dalam bidang suaian fizikal sejak 2000 berkata, setiap atlet perlu ke gimnasium bagi memastikan kekuatan mereka dalam sukan-sukan disertai sentiasa berada pada tahap optimum.
Menurut Erik, jika seseorang atlet itu lebih seminggu tidak menjalani latihan fizikal ia mampu memberi kesan kepada prestasi mereka. Kekerapan seseorang atlet menjalani latihan fizikal bergantung kepada jenis sukan dan kebiasaannya adalah tiga kali seminggu dengan tiga hingga lima set setiap sekali latihan.
Antara sukan yang paling memerlukan latihan fizikal di gimnasium adalah sukan berpasukan, sukan tempur, bina badan, serta olahraga.
Tambah Erik, kekerapan latihan fizikal bergantung kepada jenis sukan serta acara disertai, malah, khidmat suaian fizikal adalah satu kewajipan buat semua sukan di negara ini.
Latihan fizikal menjadi satu kewajipan kerana salah satu kepentingannya adalah untuk mengelak anggota badan daripada mengalami kecederaan akibat latihan teknikal berterusan. Atlet yang baharu pulih daripada kecederaan juga akan memanfaatkan latihan di gimnasium sepanjang proses pemulihan.
“Kadang-kala penggunaan berlebihan anggota badan ketika latihan teknikal boleh menyumbang kepada kecederaan dan inilah fungsi latihan fizikal di gimnasium iaitu membiasakan otot-otot berkenaan dengan bebanan berterusan.
“Setiap sukan memerlukan gimnasium biarpun kadang-kala kita lihat bentuk badan atlet berkenaan tidak sebesar mana. Di gimnasium mereka sekadar membina otot berdasarkan keperluan, manakala selebihnya adalah untuk menguatkan bahagian badan yang banyak berfungsi ketika pertandingan.
“Contohnya bagi sukan memanah, mereka perlu menguatkan bahagian atas badan sahaja, manakala sukan seperti wusyu memerlukan lebih banyak latihan berkaitan lompatan di gimnasium,” katanya.
Jelas Erik, sepanjang pengalamannya dalam bidang suaian fizikal di ISN, tugasan paling manis ialah ketika membantu skuad memanah lelaki berpasukan membuat persediaan bagi memburu kelayakan ke Sukan Olimpik buat kali pertama pada 2008.
“Ketika itu tugasan saya adalah memastikan atlet memanah sentiasa berada pada tahap optimum dan kebanyakan latihan fizikal mereka adalah menguatkan kaki. Berpeluang membantu atlet terlibat menjalani latihan fizikal di gimnasium untuk layak ke Sukan Olimpik telah memberi kepuasan kepada saya,” ujarnya.