Terengganu – Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) telah menganjurkan Kem Motivasi Jati Diri Atlet Sepak Takraw (SUKMA) XVII di Pulau Kapas, Marang, Terengganu. Seramai 50 atlet iaitu 30 atlet lelaki dan 20 atlet wanita serta 4 orang kakitangan MSNT telah menyertai kem ini.
Bagi menjayakan kem tersebut, Pusat Satelit ISN Terengganu telah dijemput untuk mengadakan program Pendidikan Sains Sukan bertujuan memberi pendedahan kepada program Latihan dan Suaian Fizikal, Psikologi Sukan, Fisiologi Senam dan Pemakanan Sukan.
Tujuan utama Kem Motivasi ini ialah untuk memperkasakan jati diri atlet sepak takraw dari segi kerohanian, mental dan fizikal agar bergerak ke arah sasaran yang telah ditetapkan iaitu bagi merangkul dua emas serta satu emas (bonus) tambahan. Sehubungan dengan itu, PSISNT telah merangka satu pelan sesi pendidikan sebagai pengisian program kepada atlet yang terlibat.
Kem Motivasi Jati Diri ini dimulakan dengan sesi pendidikan Fisiologi Senam oleh En. Afiqi Afandi. Beliau telah menyentuh dari segi aspek Aerobik, Anaerobik Alastik dan Anaerobik Laktik, pergerakan semulajadi dalam sukan sepak takraw seta otot yang terlibat dalam sukan ini.
Sesi kedua menjurus kepada sesi pendidikan berkaitan Pemakanan Sukan oleh Cik Atiqah Jalila Jusoh. Para atlet diberi penerangan mengenai asas pemakanan agar mereka faham tentang kesan pemakanan terhadap tahap kesihatan mereka serta kesan pemakanan terhadap tahap kesihatan mereka semasa latihan dan pertandingan.
Selain dari memiliki kekuatan dan kesihatan fizikal, seseorang atlet perlu mempunyai kekuatan mental bagi menghadapi persaingan di setiap pertandingan. Melalui sesi psikologi sukan oleh Puan Rapida Saimi, atlet di ajar dan dibimbing untuk melakukan Imagery, Breathing dan Self Talk.
Sesi pendidikan ini diteruskan dengan Latihan Fizikal bersama Ketua PSISNT iaitu En. Mohd Noruddin Abd Manaf. Beliau memberi kefahaman mengenai prinsip latihan fizikal seperti warming up dan cooling down sebagai garis panduan yang diperlukan oleh atlet untuk menjalani latihan dengan berkesan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.
Melalui program sebegini diharapkan atlet sepak takraw akan dapat memupuk semangat jati diri atlet agar lebih kuat dan mampu menangani cabaran di dalam merangkul sasaran yang ditetapkan.