Biarpun kemenangan Mohd Faiz Subri menjulang Anugerah Puskas 2016 sudah berlalu, namun keunikan sepakan percuma yang dilakukan pemain bola sepak Pulau Pinang itu masih menjadi perbualan dengan rakaman sepakannya masih menjadi tontonan peminat di seluruh dunia. Ramai yang mengatakan sepakan lencong itu melanggar hukum fizik dan menggelarnya sebagai jaringan ajaib. Hakikatnya, bagaimana sepakan lencong itu dilakukan secara terperinci menerusi sains sukan.
S: Boleh Dr terangkan jenis sepakan percuma yang dilakukan Mohd Faiz?
J: Ramai yang mengatakan sepakan Mohd Faiz adalah “knuckleball” tetapi untuk menilai sepakan itu sebenarnya adalah sukar kerana saya hanya menyaksikan menerusi rakaman video. Tetapi saya lebih berkeyakinan ia lebih kepada ‘curveball’ atau teknik bola lencong, sama seperti dilakukan Roberto Carlos (pada 1997). Lencongan itu biasanya berlaku akibat kesan Magnus. Kesan Magnus tiada dalam ‘knuckleball’ kerana ‘knuckleball’ berlaku hampir tidak ada putaran terhadap bola itu. Penyelidik dari FIFA juga pada 8 Januari lalu juga bersetuju ia bukanlah ‘knuckleball’, maknanya pemerhatian kami adalah sama kerana kami menyaksikan menerusi video Youtube dengan mengklasifikasikan layangan bola yang dilakukannya sebagai bola lencongan. Lencongan itu terjadi akibat daripada tindakan dua daya yang mengikut putaran dan satu lagi melawan putaran, yang dijelaskan dalam Hukum Newton Ketiga. Dalam kes ini, apabila bola itu bertukar sifar untuk seketika. Ini yang dinamakan kesan Magnus itu dan menjadikan sepakan Mohd Faiz itu nampak ekstrem.
S: Adakah keterlaluan menyatakan sepakan lencong itu sebagai sepakan ajaib?
J: Apabila menyebut soal sepakan ajaib itu, bagi saya ia adalah kerana berlaku pada masa yang tepat. Maknanya bila dia menendang, daya tendangan, sudut tendangan dengan daya persekitaran itu berlaku tepat pada masanya hingga menghasilkan sepakan sedemikian. Sebab itu orang mengatakan ia sukar untuk dilakukan semula. Apa yang kita katakan keajaiban itu adalah kerana masa yang tepat ia berlaku. Orang selalu katakan melanggar hukum fizik tetapi perkara yang melanggar hukum fizik ini hanyalah alam ghaib saja. Kalau alam nyata ia tak berlaku kerana setiap pergerakan kita membabitkan graviti. Setiap pergerakan membabitkan graviti adalah memenuhi hukum fizik. Kita harap selepas ini orang tidak menggunakan lagi istilah tidak memenuhi hukum fizik kerana ia memang memenuhi hukum fizik.
S: Adakah faktor keadaan di stadium memainkan peranan dalam mencipta sepakan itu?
J: Sudah tentu kerana jika di pulau keadaaan berangin semua itu adalah dalam bentuk faktor yang mempengaruhi aerodinamik. Faktor angin kuat atau perlahan, tekanan seperti di negara tropika, suhu akan mempengaruhi pergerakan bola. Jadi kalau orang kata ia berlaku kerana di pulau, ia memang boleh mempengaruhi layangan bola berkenaan. Kalau di London, mungkin Mohd Faiz tidak dapat lakukan sepakan seperti itu, ia kerana negara beriklim sejuk mempunyai daya yang bertindak berbeza. Contohnya, daya geseran pada kasut bola dan tekanan pada bola, semua akan berlainan. Jika ia dilakukan di Thailand, mungkin akan berlainan hasilnya.
S: Apa yang diperlukan pemain untuk melakukan sepakan seperti ini?
J: Sepakan percuma seperti itu memerlukan kemahiran individu. Ada satu teori dalam sains sukan yang menjelaskan bagaimana ia boleh terjadi dengan menggunakan teori ‘deliberate practise’. Dengan teori ini, pemain perlu mengambil inisiatif sendiri melakukan sepakan sama beribu-ribu kali dengan latihan bersendirian. Pemain itu tidak perlu mengetahui soal hukum fizik tetapi jika mereka ada ilmu hukum fizik, mereka tidak perlu melakukan ‘cuba dan perbaiki’ kerana hanya perlu fokus mengenai kesempurnaan sepakan.
S: Apakah persamaan antara sepakan Mohd Faiz dan Roberto Carlos?
J: Persamaannya ialah daripada segi tendangan lencong yang sama. Sepakan Carlos lebih bertenaga dan sepakan Mohd Faiz lebih mengelirukan. Ketika sepakan Carlos, penjaga gol itu mungkin tidak sempat menyelamatkan cubaan tetapi untuk Mohd Faiz, sepakannya mengelirukan penjaga gol. Bola Mohd Faiz juga mempunyai lebih banyak putaran. Perbezaan kedua-duanya adalah tahap daya yang dikenakan biarpun kategori sepakan yang sama.
S: Mungkin ISN boleh bekerjasama dengah FAM dalam meningkatkan kemahiran pemain?
J: Kerjasama kami lebih banyak bertumpu kepada aspek kecergasan fizikal, analisis prestasi perlawanan dan khidmat nasihat pemakanan. Dalam tiga aspek ini saja kerana mereka sudah pemain pasukan kebangsaan jadi kita tak gunakan pendekatan kemahiran. Pendekatan kemahiran lebih kepada pemain peringkat awal seperti akademi remaja. Apabila pemain dipilih ke skuad kebangsaan, sepatutnya mereka sudah mempunyai kemahiran peringkat tinggi. Kepakaran ISN lebih pada fisiologi, kecergasan dan pemakanan. Bagi saya, pemahaman sains sukan yang lebih tinggi akan memberikan kita peluang untuk menyaksikan lebih banyak insiden ajaib. Jika jurulatih dan pemain percaya dalam sains sukan, ia akan membantu meningkatkan prestasi atlet.
Sumber : Berita Harian, 15/01/2017