1 Jun 2017, BUKIT JALIL: 20 tahun mendiang Ronald Fauvel berada di belakang jaguh skuasy negara, Datuk Nicol David sehingga beliau mencatat lapan kejuaraan dunia.
Malah ketika berumur 14 tahun, mendiang Fauvel adalah antara individu yang mengenalpasti bakat Datuk Nicol dimana mendiang meramalkan anak kelahiran Pulau Pinang itu mampu menjadi juara dunia.
Pemergian mendiang Fauvel sudah pasti meninggalkan kesan mendalam buat Datuk Nicol yang sebelum ini sentiasa berada di belakangnya tidak kira di kejohanan tempatan mahupun di luar negara.
Meskipun ketika ini prestasi Datuk Nicol berdepan cabaran besar, Fauvel merupakan antara individu yang tetap optimis jaguh berusia 33 tahun itu mampu bangkit pada masa akan datang.
“Mendiang Fauvel bukan hanya sekadar pegawai terapi tisu lembut yang bertanggungjawab memastikan keperluan saya dipenuhi, malah mendiang sudah seperti bapa saya kerana sentiasa memberi semangat tidak berbelah bahagi. Malah setiap kali mendapatkan khidmatnya, saya akan tampil dalam keadaan terbaik sebelum turun ke gelanggang,” kata Datuk Nicol.
Sebelum berlepas ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu esok untuk beraksi dalam Final Kejuaraan Skuasy Dunia, Datuk Nicol hadir di Institut Sukan Negara(ISN) siang tadi untuk bersama-sama warga sukan negara memberi penghormatan di bilik mendiang.
Bagi Datuk Nicol pendekatan sains dan perubatan sukan yang diberikan Fauvel selama ini menjadikan beliau yakin untuk berentap ketika ramai bakat-bakat muda antarabangsa hadir dalam arena skuasy dunia.
“Ilmu sains sukan yang dimiliki mendiang Fauvel sungguh luar biasa kerana mendiang tahu apa yang perlu dilakukan untuk memastikan atlet berada dalam keadaan terbaik dengan menggabungkan ilmu sains sukan, anatomi dan biomekanik,” tambah Datuk Nicol.
“Fauvel amat mencintai tugasnya. Mendiang Fauvel memberikan seluruh jiwa dan raga untuk memastikan dapat membantu atlet berada dalam keadaan terbaik. Saya tidak akan melupakan segala nasihat dan amanat Fauvel. Malah semangat mendiang akan terus mekar dalam diri saya dan akan terus diamalkan sepanjang karier saya,” tambahnya lagi.
Majlis penghormatan mendiang Fauvel akan diteruskan petang ini di Petaling Jaya sebelum jasad mendiang disempurnakan di Krematorium Gui Yuan pada esok pagi.