SAZALI PERHEBAT MR. ISAGENIX 2015

KUALA LUMPUR – Mr. Universe Kejohanan Bina Badan Dunia 10 kali, Sazali Samad bakal kembali memperagakan otot wajanya dalam kejohanan termahal negara, Mr. Isagenix 2015 di ibu kota pada 1 Januari ini.
Anggota polis kelahiran Batu Pahat, Johor berusia 47 tahun yang masih segar dengan kejayaan mencipta rekod dunia di Mumbai itu, mengambil bahagian dalam kategori Terbuka (70 kilogram Ke Atas) Mr. Isagenix.
Ahli jawatankuasa eksekutif Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF), Abdul Halim Budin berkata, kehadiran Sazali tidak bermakna persaingan yang tidak adil akan berlaku kepada atlet bina badan lain memandangkan reputasi besarnya.
“Dia pun pernah kalah dalam Sukan Asia dan Sukan SEA walaupun ketika itu sudah bergelar Mr. Universe beberapa kali.
“Lagipun peserta lain dalam Mr. Isagenix memerlukan seorang idola sukan ini untuk meningkatkan persembahan mereka.
“Kami menjangkakan atlet bina badan yang kian meningkat dan kuat, Mohd. Noor Shukri mampu menyaingi Sazali dalam kejohanan yang menawarkan wang tunai lebih RM55,000.
“Ada enam kategori keseluruhan dipertan­dingkan” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Pengarah Urusan dan Naib Presiden Isagenix Asia Selatan, Datuk Dr. Ronie Tan berkata, penganjur menjangkakan lebih 500 per­serta akan menyertai Mr. Isagenix 2015.
Jumlah itu katanya bakal mencatat rekod baharu Malaysia.
“Kejohanan ini hanya dibuka kepada atlet bina badan Malaysia.
“Namun, dalam suku ketiga tahun depan, Isagenix mampu menganjurkan kejohanan terbuka pe­ringkat Asia,” jelasnya.
Lima lagi kategori yang turut dipertandingkan ialah Terbuka (bawah 70kg), Terbuka Bakat Baharu dan Khas Ahli Isagenix, selain Segak Badan untuk orang awam (170 Sentimeter Ke Atas dan Bawah).
Tiket menyaksikan Mr. Isagenix 2015 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, berharga RM15, manakala yuran penyertaan ialah RM120 dan RM50 bagi ahli Isagenix.
Sumber : Utusan Malaysia