ATLET negara seharusnya lebih kerap merujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN) berhubung ubat atau produk suplemen yang diambil bagi mengelak terjerat dengan isu doping.
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berkata, semua atlet kini berdepan cabaran hebat dalam menangani isu doping kerana Agensi Antidoping Dunia (WADA) sering melakukan penambahan informasi berkenaan senarai bahan terlarang yang perlu diberi perhatian oleh atlet negara.
“ISN sendiri bekerja keras untuk pastikan atlet tidak mengambil sebarang ubat atau vitamin yang boleh mengakibatkan positif doping. Setiap tahun pasti ada perubahan dan penambahan maklumat tentang doping (yang dikeluarkan WADA), jadi sebagai atlet, kami perlu mengambil tahu.
Dalam pada itu, Chong Wei memahami perasaan atlet berkenaan dan sudah tentu merasa tertekan dengan perkara tersebut dan beliau menasihatkan agar atlet terbabit supaya menguatkan semangat menghadapi situasi sukar berkenaan.
“Isu doping akan menjadi tamparan hebat kepada mana-mana atlet disahkan positif (menggunakan bahan terlarang dalam sukan). Saya sendiri pernah mengalaminya dan digantung lapan bulan, ia bukan satu perkara mudah. Nasihat saya cekalkan semangat, jangan putus asa kerana perkara itu akan selesai,” katanya.
Bekas pemain nombor satu dunia itu, yang pernah dihukum penggantungan lapan bulan susulan positif doping pada 2015, turut menasihatkan kepada mana-mana atlet negara yang menjadi duta produk kesihatan supaya merujuk kepada ISN berkenaan produk ditaja tersebut. – Bernama
SUMBER DARIPADA http://www.sinarharian.com.my