RISIKO TINGGI ACL BUAT ATLET

Di Malaysia, permainan bolasepak adalah antara jenis sukan yang paling popular di kalangan masyarakat kita tidak mengira bangsa ataupun umur. Sungguhpun sukan ini kurang lasak berbanding dengan sukan ragbi, namun kecederaan tetap berlaku.

Sendi ini adalah sendi terbesar dalam badan dan ia penting untuk pergerakkan. Dua kumpulan ligamen memberikan kestabilan padanya: ligamen ligamen krusiat (cruciate) dan ligamen ligamen kolateral (Collaterals).

Kecederaan ACL adalah insiden paling kerap dialami atlet dan apa yang menariknya kajian membuktikan kecederaan itu dialami tiga kali ganda lebih kerap di kalangan pemain bola sepak wanita berbanding lelaki dan empat kali ganda ke atas atlet bola keranjang wanita berbanding lelaki.

Pengarah Bahagian Perubatan Sukan Institut Sukan Negara (ISN) Dr. Arshad Puji, turut mengaku ia antara kecederaan paling kerap dialami atlet dan sering memerlukan pembedahan.

“ISN sendiri menerima tiga atau empat kes sebulan membabitkan sukan hoki, sepak takraw dan bola jaring,” katanya.

Menurut beliau, ACL iaitu ligamen yang berada dalam sendi lutut berfungsi untuk menstabilkan lutut yang sering terbabit aktiviti lasak termasuk sukan yang memerlukan banyak pergerakan pivoting atau berpusing.

“Sekiranya ACL cedera atau putus, atlet akan menghadapi masalah untuk melakukan aktiviti seperti berpusing, melompat, mendarat dan mungkin menyebabkan bengkak atau sakit,” katanya.

Jelasnya; kecederaan ACL berlaku dalam sukan yang mempunyai banyak sentuhan fizikal seperti bola sepak, ragbi, futsal (paling banyak) begitu juga boleh berlaku kepada sukan tanpa sentuhan fizikal seperti gimnastik dan sepak takraw kerana ia membabitkan gerakan berpusing dan mendarat di atas lantai.

Menjelaskan mengenai simptom kecederaan ACL, Dr. Arshad menjelaskan ia berlaku apabila atlet mengalami ‘twisting injury’ (kecederaan ketika memusingkan badan) dan mendarat dalam posisi pelik dan sekiranya ia berlaku, anda boleh mendengar bunyi ‘pop’ dan bengkak serta merta.

Ketika itu, atlet tidak boleh meneruskan permainan dan perlu dibawa keluar dari padang atau gelanggang.

“Selepas dua atau tiga minggu, simptom awal akan hilang tetapi atlet berkenaan akan berasa lututnya longgar terutamanya ketika menuruni tangga atau melakukan pergerakan mengejut seperti berjalan dan berpusing dengan cepat atau berlari dan berhenti dengan cepat,” katanya.

Sekiranya atlet disahkan mengalami ACL, rawatan awal adalah memastikan bengkak di lutut dapat dikurangkan dan pergerakan lutut dapat dilakukan secara sempurna menerusi fisioterapi.

Seterusnya, atlet perlu melakukan senaman bagi menguatkan otot di sekeliling lutut supaya dapat membantu mereka berjalan seperti biasa dan melakukan aktiviti sukan ringan.

“Bagaimanapun sekiranya berlaku simptom lutut berasa longgar, kita akan nasihatkan atlet melakukan pembedahan penggantian ACL di mana kita akan mengambil sebahagian dari urat kaki dan membentuknya seperti ligamen ACL dan menanamnya di dalam lutut dengan skru di bahagian atas dan bawah tulang lutut.

“Selalunya selepas pembedahan ACL, atlet boleh bermain dalam tempoh 9 bulan ke setahun, tidak dinafikan ada yang boleh bermain semula dalam tempoh lebih awal, tetapi risiko untuk berlaku kecederaan berulang adalah tinggi.”

Untuk mencegah kecederaan ACL, senaman perlu dilakukan bagi menguatkan otot kaki selain menguatkan otot teras dan latihan dengan keseimbangan yang bagus kerana ia dapat mengurangkan risiko kecederaan berkenaan.

Jelas Dr. Arshad, sekiranya kecederaan tidak ditangani  dengan baik, lutut akan berasa longgar dan  atlet tidak berupaya melakukan aktiviti lasak.

Namun dalam tempoh jangka panjang, lutut boleh mengalami kecederaan berlarutan (degenerative) dan mungkin menyebabkan struktur lain seperti rawan dan meniscus terjejas dan apabila ia berlaku, ia boleh menyebabkan osteoathristis.

Apa yang lebih penting menurut Dr Arshad adalah proses rehabilitasi, kerana pembedahan mungkin mengambil masa dua hingga tiga jam tetapi rehabilitasi mungkin mengambil masa dari 9 bulan hingga 2 tahun sebelum atlet boleh bermain semula.

“Justeru, atlet perlu datang untuk menjalani rehabilitasi, fisioterapi seperti yang kita arahkan dan jadualkan. ISN memberi penekanan terhadap aspek itu kerana kami mempunyai doktor pakar dan pegawai fisioterapi terlatih selain kemudahan gimnasium terbaik yang sesuai untuk merawat atlet ACL, malah ada atlet boleh bermain lebih awal daripada tempoh yang kita jangkakan jika mengikut rawatan yang betul dan komited mengikut program rehabilitasi.”

 

Sumber daripada : Nor Hairulnizam Wahid, Harian Metro, M/S 78, 24 Disember 2016