PROGRAM PODIUM BAKAR SEMANGAT CIKGU DIDIN

KUALA LUMPUR: Kejayaan terpilih menyertai Program Podium, membakar semangat jaguh perseorangan badminton para SS6 (kerdil), Didin Terasoh, untuk mengulangi kejayaan menang pingat emas apabila beraksi di Kejohanan Badminton Para Dunia di Ulsan Kotea pada 22 November nanti

Guru matematik di Sekolah Kebangsaan (SK) Bongkud, Ranau, Sabah itu mengakui amat terkejut dan terharu apabila dimaklumkan namanya tersenarai sebagai atlet di bawah Program Podium diumumkan Institut Sukan Negara, semalam.

“Saya sangat gembira dan terharu apabila mengetahui nama saya tersenarai berada dalam Program Podium. Kejayaan ini menjadi azimat dan motivasi terbaik untuk saya mempertahankan pingat emas dimenangi di Kejohanan Badminton Para dunia di England dua tahun lalu.

“Kemasukan saya ke Program Podium memberi suntikan semangat dan meningkatkan motivasi kepada saya untuk mencipta sejarah dengan menang emas di Sukan Asia dan Komanwel, pada tahun depan,” katanya ketika dihubungi.

Bekas juara Seluruh England dan Juara Dunia 2015 itu juga menegaskan dia tidak pernah berehat panjang malah terus menjalani latihan intensif selepas berjaya menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen negara di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) bagi memastikan tahap kecergasannya sentiasa di tahap optimum.

Bagaimanapun menurutnya, komitmennya sebagai guru menyukarkannya mengambil cuti panjang semata-mata untuk fokus terhadap sukan berkenaan.

“Biarpun saya bukan atlet sepenuh masa, saya tetap yakin mampu menghasilkan keputusan yang terbaik untuk Malaysia iaitu mendapat pingat emas dalam semua kejohanan yang saya sertai (tidak pernah tewas kepada sesiapa pemain setakat ini),” katanya.

Sambil menganggap cabaran utama bakal dihadapi daripada pemain Indonesia dan Hong Kong, Didin sebaliknya mahu fokus terhadap persiapan sendiri dengan memperuntukkan masa dua hingga tiga jam setiap hari melakukan aktiviti kecergasan, selain sesi perlawanan bersama rakan.

Sumber dari Berita Harian, Haika Khazi mfaizul@nstp.com.my
Foto dari Hafiz Sohaimi