BUKIT JALIL,10 JANUARI 2018: Institut Sukan Negara (ISN) menerusi Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) menampilkan pakar fisiologi senam terkemuka antarabangsa, Dr. Inigo Mujika dalam sesi perkongsian yang bertajuk ‘Tapering and Peaking in Sports’ di Dewan Perdana ISN di Bukit Jalil siang tadi hari ini.
Sesi perkongsian bersama Dr. Inigo dihadiri lebih seratus penggiat sukan tempatan, antaranya Ketua Jurulatih Hoki Wanita Negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah, Ketua Jurulatih Memanah Recurve Negara, Lee Jae-Hyung dan Jurulatih Renang Negara Paul Birmingham.
Bagi Dr. Inigo, pengetahuan ‘Tapering’ perlu dikuasai setiap jurulatih untuk memastikan atlet-atlet sentiasa menampilkan prestasi maksimum ketika waktu yang diperlukan seperti dalam kejohanan penting.
“Tapering memberi impak yang amat besar kepada prestasi atlet ketika pertandingan berlangsung. Namun menerusi perancangan ‘Tapering’ yang baik, ia akan membantu atlet menghasilkan keputusan maksimum semasa kejohanan,” kata Dr. Inigo.
“Ia amat penting bagi setiap jurulatih mengetahui peraturan asas ‘Tapering’ dengan mengadaptasi prinsip asas dan memahami keperluan individu atlet dan keperluan sukan kerana setiap atlet dan sukan mempunyai keperluan yang berbeza,”
“Dengan memperkukuhkan prinsip asas menerusi kaedah sains dan penyelidikan sukan, ia dapat membantu jurulatih mendapatkan keputusan terbaik daripada atlet,” tambah Dr. Inigo.
Bagi Pengarah AKK Dr. Yeo Wee Kian, menerusi perkongsian bersama pakar fisiologi senam terkenal dunia itu, AKK memberi peluang para jurulatih untuk mendapatkan sebanyak mungkin pengetahuan untuk jurulatih berdepan dengan cabaran yang mendatang.
“Kami mendapat maklum balas yang positif dalam kalangan jurulatih tempatan yang tidak melepaskan peluang untuk menghadiri sesi perkongsian hari ini. AKK akan memastikan keperluan jurulatih negara dipenuhi seiring dengan kehendak sukan antarabangsa,” kata Dr. Yeo.
“Kami ingin setiap jurulatih mempunyai pengetahuan yang mantap dalam kemahiran ‘Tapering’ agar dapat membantu atlet-atlet negara menghasilkan keputusan yang terbaik sepanjang kejohanan yang disertai,” tambah Dr. Yeo.
Bagi salah seorang peserta, Ahmad Pharmy Jalil yang merupakan pegawai di Pusat Makmal Bersepadu, Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan, ISN, maklumat yang disampaikan Dr. Inigo amat bermanfaat buat jurulatih untuk diaplikasikan dalam latihan atlet masing-masing.
“Selain berkongsi maklumat terkini, sesi ini memberi peluang kaedah praktikal yang boleh digunakan jurulatih dalam merangka dan menambah baik pilihan sedia ada dalam meningkatkan prestasi atlet untuk berdepan temasya terdekat ini iaitu bagi Sukan Komanwel dan Sukan Asia,” kata Ahmad Pharmy.
Tajuk perkongsian yang sama telah dibentangkan oleh Dr. Inigo apabila menjadi jemputan khas di Persidangan National Strength And Conditioning Association(NSCA) di Las Vegas, Amerika Syarikat pada Julai 2017, dimana ia dihadiri Ketua Pusat Sukan Kekuatan dan Daya Tahan ISN, Jad Adrian Washif yang turut berada di persidangan terbesar dunia tersebut.