NASIB BOLA SEPAK

>> Sukan nombor satu di Malaysia itu tidak disenarai dalam Program Podium kerana pamer prestasi buruk dengan kali terakhir rangkul emas Sukan SEA Indonesia 2011

Kuala Lumpur – Prestasi buruk skuad bola sepak negara dengan kali terakhir merangkul pingat emas Sukan SEA Indonesia 2011, menyebabkan sukan itu tidak akan disenaraikan dalam Program Podium.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dato’ Dr. Ramlan Abd Aziz ketika ditemui di pejabatnya, berkata keputusan itu mungkin dibuat selepas mengambil kira kegagalan skuad bola sepak memenuhi kriteria ditetapkan.

Sebaliknya, beliau memberi bayangan hanya sukan hoki dan sepak takraw muncul antara sukan berpasukan yang akan disenaraikan berdasarkan hasil perbincangan bersama jawatankuasa kawalan dan arahan program itu, baru-baru ini.

Tak penuhi criteria

Sukan berpasukan yang kita pertimbangkan jelas sekali hoki berdasarkan pencapaiannya. Ini kerana tahap 3 program ini memperuntukkan slot buat atlet yang berkeupayaan meraih pingat dalam Sukan Asia.

Kalau kita tengok hoki mereka pernah dapat pingat perak dan gangsa pada temasya Sukan Asia, jadi mereka wajar dipertimbangkan dan saya tidak nafikan sepak takraw juga berpeluang.

Bagaimanapun, bola sepak terlalu jauh. Memang saya tidak Nampak bagaimana mereka pada tahap ini layak disenaraikan. Walaupun keputusan ini akan dibuat oleh semua, tetapi saya lihat bola sepak tidak memenuhi criteria yang kita buat dan jelas mereka tidak layak,” katanya.

Februari lalu, Kementerian Belia dan Suakn (KBS) memperkenalkan Program Podium yang bakal menjadi medan melahirkan atlet berkualiti tinggi bagi meraih kecemerlangan di peringkat antarabangsa selepas penstrukturan semula Majlis Sukan Negara (MSN) dan ISN.

Atlet yang terpilih di bawah program ini akan dibantu dengan rapi dari segi pemakanan, latihan, kemudahan, sains sukan dan kejurulatihan yang dirangka spesifik oleh ISN untuk setiap atlet dan kumpulan.

150 atlet sudah dalam senarai

Difahamkan, setakat ini jawatankuasa pemilihan sudah pun menerima senarai awal 150 atlet untuk Program Podium daripada persatuan sukan dan kemungkinan besar akan mengecilkan jumlah itu kepada 120 atlet.

Kija menjadi kenyataan, ia adalag buat pertama kali sukan bola sepak tidak disenaraikan dalam program utama sukan negara selepas sebelum ini tersenarai dalam program Sukan Teras dan ia sudah pasti akan menimbulkan tanda Tanya terhadap hala tuju sukan berkenaan.

Sebagai rekod, sejak merangkul pingat emas berganda Sukan SEA 2009 dan 2011 selain menjuarai Piala AFF 2010, skuad bola sepak negara terus kempunan meraih sebarang kejuaraan.