MUN YEE TIDAK MENYESAL TINGGALKAN INDIVIDU

Kuala Lumpur – Penerjun negara Leong Mun Yee tidak menyesal meninggalkan acara individu walaupun keputusannya itu menyebabkan dia terpaksa menunggu hingga Februari tahun depan untuk peluang menempah tiket ke Olimpik Rio De Jenairo.

Dalam Kejohanan Terjun Piala Asia 2015 hujung minggu lalu, Mun Yee hanya menjadi pemerhati ketika dua penerjun remaja negara Ooi Tze Liang dan Nur Dhabitah Sabri menempah tiket ke Olimpik.

Semua ini kerana keputusanya meninggalkan acara individu sama ada acara 3m papan anjal atau 10m platform sejak 2012 gara-gara dilanda kecederaan, dan kini hanya menyertai acara terjun seirama.

“Saya sudah lama tidak menyertai acara individu, sebab acara itu memerlukan terjunan berdiri dengan tangan. Pergelangan tangan saya pernah dibedah dan selepas itu saya tidak lagi menyertai acara individu terjun seirama.

Saya gembira atas kejayaan mereka dan Tze Liang dan Dhabitah menunjukkan peningkatan prestasi yang baik. Kini saya kena berusaha lebih keras kerana mereka layak manakala saya belum lagi,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Mencatatkan pencapaian membanggakan bersama pasangan Cheong Jun Hoong dalam beberapa siri terjun yang dianjurkan Persekutuan Renangan Dunia (FINA) dengan meraih pingat perak pada siri keempat Kejohanan Terjun Siri Dunia, London dan pingat gangsa siri Dunia di Dubai membuktikan mereka mampu mencuri slot ke Olimpik.

Penerjun kelahiran Ipoh, Perak itu tidak akan sesekali berputus asa untuk menempah slot Olimpik dan peluang terakhir Mun Yee ialah menerusi Piala di Rio, Brazil, Februari tahun depan di mana lapan pasangan terbaik acara terjun seirama akan melayakkan diri.

Disediakan oleh,

Thavamalar A/P Vanthan

Pelajar Praktikal Universiti Putra Malaysia